Polis mungkin akan memanggil Datuk Seri Najib Razak bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran di laman Facebook milik bekas perdana menteri itu yang didakwa berbaur fitnah terhadap Ahli Parlimen DAP Teluk Intan, Nga Kor Ming.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata polis akan meneliti dahulu laporan polis dibuat setiausaha sulit kanan kepada Kor Ming terbabit di Ipoh, Perak pada 3 Oktober lalu.

“Kita akan siasat laporan polis yang kita terima dahulu. Jika ada keperluan sesiapa saja kita akan panggil.

“Sekiranya perlu , kita akan siasat laporan yang kita terima ni bila dipanggil, belum ada tarikhnya lagi,” kata beliau kepada pemberita, di sini pada Rabu.

Semalam, Kor Ming menggesa polis menyiasat FB ‘Najib Razak’ susulan hantaran didakwa berbaur fitnah ke atasnya yang dimuat naik 30 September lalu.

Pada hari sama, beliau turut hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk dirakam keterangan bagi siasatan status yang dimuat naik dalam akaun Facebook bernama ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ yang menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.