Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memaklumkan terdapat peningkatan ketara bilangan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri itu dengan pertambahan sebanyak 48 peratus kes tersebut tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, sebanyak 1,555 kes dicatatkan oleh JKNPP sepanjang tahun ini sehingga Khamis berbanding 1,050 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, penyakit itu mudah menjangkiti orang lain terutamanya kanak-kanak di premis tempat tumpuan mereka seperti pusat asuhan kanak-kanak.

"Bagi tahun 2018, sehingga kini, sebanyak 53 buah taska, tadika, tabika, pra sekolah melaporkan kluster HFMD di premis mereka, peningkatan sebanyak 381% berbanding hanya 11 kluster dilaporkan pada tempoh yang sama pada tahun 2017" katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Penyakit tangan, kaki dan mulut adalah disebabkan oleh jangkitan virus khasnya dari jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71) yang merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit.

Kebiasaan jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

Walaupun hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh hingga sepuluh hari, namun jangkitan EV71 berisiko menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis

Sehubungan itu, Afif mengingatkan orang ramai terutamanya pengusaha premis penjagaan kanak-kanak dan ibu bapa agar sentiasa memastikan kebersihan premis dan peralatan yang digunakan kanak-kanak.

"Saringan perlu dibuat di premis berkenaan bagi memastikan kanak-kanak yang hadir tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan HFMD.

"Mereka yang mempunyai tanda-tanda penyakit tersebut dinasihat tidak hadir ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada kawan-kawan," katanya.

Selain itu, ibu apa dan orang ramai digalakkan melaporkan kluster HFMD kepada pejabat kesihatan daerah berhampiran untuk tindakan kawalan dan pencegahan, katanya.