Jumlah kes influenza di beberapa buah negeri mencatatkan peningkatan dengan kebanyakannya melibatkan pelajar sekolah.

PULAU PINANG, Pengarah Pendidikan Negeri Abdul Rashid Abdul Samad berkata jumlah murid dijangkiti influenza meningkat kepada 178 orang di 87 sekolah rendah dan menengah, berbanding 161 orang di 77 sekolah, semalam.

Beliau berkata ia melibatkan 159 murid daripada 68 buah sekolah rendah dan 19 pelajar daripada 19 sekolah menengah dengan tujuh orang sedang menerima rawatan di hospital, manakala selebihnya dikuarantin di rumah masing-masing.

Di PERAK, kes influenza telah dikesan melibatkan 47 sekolah di sembilan daripada 12 daerah di negeri itu berbanding hanya lima daerah semalam.

Menurut jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri, daerah terlibat ialah Kinta (34 kes); Bagan Datuk (17 kes); Larut, Matang dan Selama (12 kes); Manjung (8); Kuala Kangsar (4); serta masing-masing satu kes di Perak Tengah, Kerian, Hilir Perak dan Batang Padang, menjadikan keseluruhan pelajar dijangkiti virus itu seramai 79 pelajar berbanding 57 orang, semalam.

Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (Semesti) dalam daerah Bagan Datuk kekal menjadi satu-satunya sekolah yang ditutup selepas 10 pelajar positif Influenza A, sejak Sabtu lepas.

Di SELANGOR, seramai 67 peratus daripada 237 individu yang dilaporkan positif penyakit itu merupakan dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.

Mengikut statistik Jabatan Pendidikan Negeri Selangor sehingga semalam, sebanyak 548 pelajar daripada 194 sekolah juga mempunyai simptom penyakit serupa influenza (ILI).

"Rakyat tidak seharusnya panik kerana situasi masih terkawal dan hanyalah jangkitan virus saja, belum sampai ke tahap wabak," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan pengurusan dan kawalan jangkitan virus Influenza A peringkat negeri, di sini hari ini.

Di JOHOR, dua bayi berusia sembilan bulan antara sembilan kanak-kanak di daerah ini yang disahkan dijangkiti Influenza A yang kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru sejak beberapa hari lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia Negeri Johor Aminolhuda Hassan berkata jumlah itu mencatatkan penurunan berbanding 13 kanak-kanak yang mendapatkan rawatan di hospital itu semalam.

Aminolhuda berkata selain itu, terdapat lapan lagi pesakit dewasa yang turut disahkan dijangkiti wabak berkenaan dan sedang menerima rawatan susulan.

Influenza merupakan jangkitan dengan gejala utama seperti demam selesema, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

-- BERNAMA