Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kes bekas pegawai Petrosaudi International Eksekutif Xavier Andre Justo kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kementeriannya yakin siasatan yang akan dibuat bersama dengan polis Thailand itu akan membuktikan mereka yang terlibat akan berjaya dibawa ke muka pengadilan.

“Kita amat yakin bahawa PDRM dapat kerjasama dengan pihak polis Thailand. Sebarang bukti biar mahkamah yang menentukan mengikut proses perundangan," katanya ditemui ketika Majlis Rumah Terbuka Hari Raya bersama warga PDRM di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman, di ibu negara pada Jumaat.

"Kita yakin siasatan yang dilakukan pihak polis itu bergantung kepada maklumat-maklumat yang didapati melalui siasatan polis Thailand," katanya lagi.

Pada 22 Jun lalu, pasukan polis Thailand telah menahan Justo di kediamannya di Koh Samui, Thailand kerana didakwa atas cubaan memeras ugut PetroSaudi serta membocorkan maklumat berkaitan 1MDB.

Justo difahamkan menjadi penyalur maklumat kepada portal Sarawak Report sehingga perkara itu menimbulkan kontroversi di Malaysia.