Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Bangi yang disyaki terbabit dalam kes tiga kanak-kanak yang diikat dan dipercayai didera didapati beroperasi tanpa lesen.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Othman Nanyan berkata siasatan awal mendapati taska itu baru beroperasi sejak hampir empat bulan lepas dan dalam proses mendapatkan lesen.

"Siasatan masih dijalankan dan fokus siasatan adalah terhadap kesahihan gambar yang tersebar di laman sosial serta apa sebenarnya yang berlaku," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini, hari ini.


Selain itu, beliau berkata polis telah merakam percakapan lapan individu termasuk ibu bapa kanak-kanak terbabit.

Katanya gambar berkenaan dipercayai dirakam pada 27 Dis tahun lepas oleh seorang bekas pekerja taska terbabit.

"Laporan polis hanya dibuat bekas pekerja itu pada 19 Jan lepas selepas dia (pengadu) sebarkan gambar itu. Pengadu hanya bekerja selama beberapa hari dan berhenti kerja pada 31 Dis tahun lepas," katanya.

Gambar kanak-kanak berkenaan yang diikat kaki dan tangan selain mulut mereka ditutup tersebar di laman sosial sejak Khamis lepas. - Foto Astro AWANI
Mengulas lanjut, Othman berkata pemeriksaan terhadap tiga kanak-kanak yang berusia enam bulan hingga empat tahun yang diikat itu mendapati tiada kecederaan fizikal terhadap mereka.

"Polis juga telah merampas kain yang mempunyai persamaan seperti dalam gambar yang ditularkan," katanya.

Setakat ini, pemilik taska dan tiga pekerjanya yang ditahan sejak Jumaat lepas direman sehingga Selasa bagi membantu siasatan.

Gambar kanak-kanak berkenaan yang diikat kaki dan tangan selain mulut mereka ditutup tersebar di laman sosial sejak Khamis lepas. -- Bernama