Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengklasifikasikan kes Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang dipukul perusuh di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu, sebagai kes bunuh.

Ini berikutan anggota bomba berusia 24 tahun itu meninggal dunia pada pukul 9.41 Isnin malam.

Menurut Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab, sebelum ini polis klasifikasikan kes Muhammad Adib di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan ekoran kecederaan yang dialami oleh Allahyarham.

"Kes cubaan membunuh dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan ekoran kecederaan yang dialami oleh anggota bomba Muhammad Adib di Seafield, Subang Jaya pada 27 Nov lalu, kini telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," kata beliau dalam satu kenyataan, Isnin malam.

Terdahulu, Muhammad Adib disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN).

Difahamkan, atas permintaan keluarga, jenazahnya akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah malam ini untuk dikebumikan.


BACA: Wan Azizah berjanji keadilan untuk Muhammad Adib akan terbela

BACA: Muhammad Adib sudah tiada, MB Selangor harap penjenayah dihukum sekeras-kerasnya

BACA: Saya amat sedih... - Tun Mahathir