Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Kes Najib: Menteri Undang-undang nafi hina keputusan mahkamah

Kes Najib: Menteri Undang-undang nafi hina keputusan mahkamah
TAKIYUDDIN: Mungkin ada orang 'spin' kenyataan saya. Itu terpulanglah. Saya tidak bermaksud begitu. - Gambar fail
KOTA BHARU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan menafikan telah menghina mahkamah dan mempertikaikan hakim berhubung kes bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.

Setiausaha Agung PAS itu mendakwa, kenyataan beliau yang diterbitkan dalam laman media sosial miliknya telah diubahsuai, dan lari dari maksud asal.
Takiyuddin berkata, sebagai seorang peguam dan menteri yang bertanggungjawab mengenai undang-undang, adalah mustahil untuk beliau melakukan ‘contempt of court’ (perbuatan menghina mahkamah).

“Saya tidak pernah mempersoalkan (keputusan itu). Sebagai pengamal undang-undang, menteri undang undang pula, saya tak persoalkan.
"Kenyataan saya adalah akur kepada mahkamah. Tetapi, kita menghormati hak pihak (Najib) untuk menunaikan hak dia dalam mahkamah itu sendiri.

“Apabila mahkamah sudah muktamadkan hukuman, kita akurlah. Jadi, mungkin ada orang 'spin' kenyataan saya. Itu terpulanglah. Saya tidak bermaksud begitu. Takkan lah menteri undang-undang mempertikaikan mahkamah. Itu tidak betullah,” katanya lagi.

Baru-baru ini sebuah portal mendakwa Takiyuddin, yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, telah menulis 'tweet' berbunyi: “There may be times when we are powerless to prevent injustice, but there must never be a time when we fail to protest”.

Ciapan itu turut disertakan sekeping gambar yang menunjukkan pertemuan beliau bersama Najib, dan beberapa pemimpin kanan PAS lain seperti Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dan Ahli Majlis Syura Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Bagaimanapun ciapan itu telah dipadamkan.