Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 8 Ogos sebagai tarikh pengurusan kes berhubung dakwaan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tarikh perbicaraan kes ditetapkan pada 18 Februari tahun hadapan.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abdul Razak berkata, beliau mencadangkan keseluruhan tempoh perbicaraan selama 19 hari dan tarikh yang ditetapkan ialah 18 hingga 28 Februari 2019, 4 hingga 8 Mac 2019 serta 11 hingga 13 Mac 2019.

Pihak pendakwaraya yang diketuai Peguam Negara, Tommy Thomas dan barisan peguambela diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bersetuju dengan keputusan berkenaan.

Terdahulu, Najib yang juga bekas Presiden UMNO menghadapi empat pertuduhan iaitu tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahguna jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Beliau mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas keempat-empat pertuduhan berkenaan.

Mohd Sofian juga telah menetapkan ikat jamin sebanyak RM1 juta dan pasport milik Najib diserahkan kepada mahkamah.