Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur yang menyaksikan pendakwaan kes bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertukar kecoh apabila sekumpulan orang awam dipercayai penyokong bekas pemimpin itu dilihat cuba mengganggu sidang media oleh Peguam Negara, Tommy Thomas.

Mereka sebelum itu cuba menyertai sidang media di ruang lobi mahkamah.

Keadaan bertukar kecoh apabila kumpulan itu melaungkan dengan kuat terhadap Thomas agar beliau menyampaikan sidang media dalam Bahasa Melayu.

Thomas kemudian bertindak keluar dari lobi mahkamah.


Kumpulan penyokong itu kemudian terus mendesak Thomas hingga ke luar lobi.

Sidang media yang sepatutnya diadakan kemudiannya dibatalkan dan Thomas keluar dari mahkamah menaiki kenderaannya.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Najib Razak didakwa hari ini

Sementara itu menurut Bernama, pihak polis menahan beberapa individu kerana melakukan provokasi terhadap media dan pihak berkuasa di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sebentar tadi.

Sebelum itu Najib Razak didakwa dengan tiga tuduhan pecah amanah jenayah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan wang berjumlah RM42 juta di Mahkamah Sesyen hari ini.

Barisan pendakwaan hari ini diketuai Tommy yang dibantu 11 Timbalan Pendakwa Raya.