Kes Najib: SRC tidak dimiliki 1MDB, 1 juta saham dipegang Menteri Kewangan

Kes Najib: SRC tidak dimiliki 1MDB, 1 juta saham dipegang Menteri Kewangan
Najib berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International. - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, sewaktu penubuhan SRC International Sdn Bhd pada 7 Januari 2011, saham syarikat itu tidak dimiliki oleh syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhamad Akmaludin Abdullah berkata demikian ketika bersetuju dengan soalan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak.

Muhamad Akmaludin yang merupakan saksi pertama juga mengakui bahawa ketika penubuhan SRC International, ia hanya dipegang oleh dua individu iaitu Nik Faisal Ariff Kamil dan Vincent Beng Huat Koh.

BACA: Kes SRC Najib: Saksi pertama diminta kemuka tiga dokumen tambahan

Dalam prosiding soal balas yang berlangsung hampir dua jam itu, Harvinderjit turut bertanya tentang kejanggalan dokumen yang menunjukkan pemindahan 999,998 saham dari SRC International kepada 1Malaysia Developmet Berhad (1MDB) Energy bertarikh beberapa bulan awal ketika dokumen itu diterima SSM pada Ogos 2011.
Bagaimanapun, Muhamad Akmaludin bersetuju terdapat resolusi berhubung pengeluaran 999,998 unit saham SRC International.

Dalam pada itu, Muhamad Akmaludin turut memberitahu mahkamah bahawa satu juta saham SRC International dipegang oleh Menteri Kewangan.

Katanya, pegangan satu juta saham oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) adalah setakat tarikh dokumen dicetak iaitu 22 Mei 2018.

Hakim Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan saksi pertama dibebaskan.

Prosiding kemudian bersambung dengan pihak pendakwaan memanggil saksi kedua, Pengurus Bank Negara Malaysia (BNM), Azizul Adzani Abdul Ghafar.

Ketika ditanya oleh pihak pendakwaan, Datuk Suhaimi Ibrahim, Azizul memberitahu mahkamah pada 6 Julai 2015,  beliau pergi ke bangunan Ambank Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur untuk menjalankan operasi menggeledah bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pe­ngubahan Wang Haram dan Pen­cegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).

Perbicaraan hari ini akan disambung semula pada jam 2.30 petang.

Datuk Seri Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berusia 66 tahun itu berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, Najib boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda yang boleh sampai lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pada prosiding bicara 3 April lalu, pihak pendakwaan memanggil seorang saksi untuk memberi keterangan.

Pada prosiding itu juga, kesemua tujuh pertuduhan ke atas Najib dibacakan semula dan beliau kekal mengaku tidak bersalah terhadap setiap pertuduhan dikenakan.

Perbicaraan bermula hari ini sehingga 10 Mei.

Tag: Najib Razak, 1Malaysia Development Berhad, 1MDB, SRC International, Bank Negara Malaysia, Malaysia, Menteri Kewangan, Perdana Menteri


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.