Orang ramai diminta berhenti menuding jari dan menyalahkan pihak sekolah berhubung kes pelajar tahfiz di Kota Tinggi baru-baru ini, sehingga keputusan hasil siasatan dikemukakan pihak berkuasa.

Presiden Gabungan Persatuan Institut Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA), Mohd Zahid Mahmood berkata pihaknya akan bekerjasama dengan sekolah berkenaan dan akan mengambil khidmat guaman, jika perlu.

"Jadi tidak perlu menuding jari. Apa yang kita tengok hari ini, masyarakat menunding jari terus kepada sekolah, sedangkan perkara itu berlaku selepas dua minggu.

"Kalau kita lihat pada CCTV yang ada di sekolah itu, kerana pengerusi PINTA Johor sudah pergi melihat, didapati (pembantu warden) hanya memukul di satu kaki sahaja, di tapak kaki.

"Jadi berkemungkinan besar, ada isu-isu lain, dan diharap janganlah kita jadikan seperti apa orang kata kerana nyamuk seekor, kita bakar kelambu," katanya.

Beliau menggesa semua pihak untuk tidak terus melabelkan sekolah tahfiz sebagai mendera pelajar hanya kerana satu insiden ini.

Jelasnya, masyarakat perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan lancar, supaya mendapat keputusan yang telus.

Mengulas proses tapisan pengambilan guru dan pekerja sekolah tahfiz, Mohd Zahid berkata satu Pusat Kecemerlangan Guru Tahfiz akan dibangungkan.

"Pusat kecemerlangan guru ini adalah seperti maktab.

"Guru dan pekerja akan dilengkapkan dengan kemahiran supaya dapat melahirkan generasi tahfiz yang cemerlang dan melahirkan guru-guru tahfiz yang boleh memperjuangkan dan memartabatkan sekolah-sekolah tahfiz dipersada antarabangsa," jelasnya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan sekolah madrasah tahfiz untuk melihat rekod perubatan setiap kemasukan pelajar supaya tidak timbul masalah pada masa depan.