Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Kes pertama koronavirus di Malaysia, tiga warga China kini dirawat di Hospital Sungai Buloh

Kes pertama koronavirus di Malaysia, tiga warga China kini dirawat di Hospital Sungai Buloh
Dr Dzulkefly (dua kanan) dan Dr Noor Hisham (kanan) pada sidang media di Putrajaya hari ini. Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesahkan tiga warga China yang memasuki Malaysia melalui Johor disahkan positif koronavirus (2019-nCoV).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kesemua mangsa terdiri daripada seorang wanita warga emas berusia 66 tahun serta dua cucunya masing-masing 11 dan dua tahun.
Menurut beliau, kesemua mereka merupakan ahli keluarga terdekat kepada kes pertama yang berlaku di Singapura.

"Saringan awal mendapati mereka tidak demam dan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan. Sampel klinikal seterusnya telah diambil dalam kalangan kontak tersebut untuk menjalani ujian pengesanan dan selanjutnya pengesahan 2019-nCoV di MKAK (Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan) Sungai Buloh.

"Kesemua kontak tersebut seterusnya telah diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan oleh JKN Johor sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan ke atas mereka.
"Untuk makluman, tiga kes yang dikesan positif melalui ujian yang dijalankan oleh MKAK adalah isteri dan dua orang cucu kepada kes pertama di Singapura.

"Mereka kini dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan selanjutnya dan kesemuanya berada dalam keadaan stabil. Manakala lain-lain kontak yang dikesan adalah negatif bagi 2019-nCoV," katanya dalam sidang media di kementeriannya pada Sabtu.

BACA: Pengesanan kes positif 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) di Malaysia 

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. 

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata kerajaan akan membincangkan langkah seterusnya terutama berkenaan cadangan menyekat kemasukan pelancong dari China ke negara ini.

Dalam masa sama, beliau berkata, Kementerian Kesihatan juga telah mengaktifkan pasukan Rapid Response Team (RRT) dan Rapid Assessment Team (RAT) bagi menjalankan aktiviti pengesanan kontak di lapangan.

"Semua anggota kesihatan diingatkan untuk memberikan perhatian serius terhadap pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) yang betul serta mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi yang optimum pada setiap masa.

"Saringan pesakit di semua fasiliti kesihatan perlu dilaksanakan dengan teliti, bagi memastikan kes yang memenuhi akan dirujuk bagi menjalani penyiasatan selanjutnya. 

"Kejadian wabak jangkitan ini dipandang serius oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, justeru suatu tatacara mengenainya yang melibatkan fasiliti kesihatan awam dan swasta telah dikeluarkan baru-baru ini.

"Tatacara ini akan digunakan sebagai rujukan kepada semua anggota kesihatan di lapangan bagi mengesan, mengendali dan menguruskan individu yang disyaki dijangkiti 2019-nCoV," kata beliau lagi.



Tag: koronavirus, tiga warga China, Hospital Sungai Buloh, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.