Tutup

Kes pindaan audit: Permohonan Najib tangguh perbicaraan ditolak

Kes pindaan audit: Permohonan Najib tangguh perbicaraan ditolak
Mahkamah menolak permohonan Najib untuk menangguhkan perbicaraan kes pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan perbicaraan kes pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan memutuskan perkara berkenaan selepas mendengar hujah peguam utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika prosiding kes itu bermula pagi ini.
Pada Jumaat, mahkamah mendengar permohonan pasukan pembelaan Najib yang berhujah jika perbicaraan diteruskan hari ini, mereka hanya mempunyai masa yang singkat untuk menyiapkan pembelaan dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd.

Pada 11 Nov, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan Najib, 66, untuk membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan usul pada Rabu, memohon perbicaraan yang ditetapkan pada Isnin hingga 29 Nov di hadapan Hakim Mohamed Zaini ditangguh ke 13 Jan 2020.

Menurut Najib, jika perbicaraan (pinda laporan audit) diteruskan seperti dijadualkan, dia akan mengalami prasangka kerana dia dan peguamnya memerlukan masa yang munasabah dan mencukupi untuk menyiapkan pembelaan dalam kes SRC yang pertuduhan yang dihadapinya adalah serius.

Beliau juga berkata, pada masa sama, barisan peguambelanya juga terlibat dalam penyediaan kes 1MDB yang bermula pada 28 Ogos dan masih berlangsung sehingga kini.

Pembelaannya dalam perbicaraan kes SRC dijangka bermula pada 3 Dis.

Bagaimanapun permohonan Najib di depan Mohamed Zaini itu mendapat bantahan daripada peguambela Arul Kanda Kandasamy yang didakwa bersubahat dengan bekas perdana menteri itu membuat pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Peguam Datuk N. Sivananthan yang mewakili Arul Kanda memberitahu Mohamed Zaini bahawa anak guamnya mahu perbicaraan diteruskan dan diberi peluang untuk menyangkal pertuduhan.

Pada 12 Dis, 2018, Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Najib dituduh, atas kapasitinya sebagai seorang pegawai awam iaitu perdana menteri, menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.