Kementerian Kesihatan (KKM) pada Selasa mengumumkan terdapat peningkatan kes COVID-19 di tiga kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang melibatkan Kluang di Johor Bahru, Hulu Langat di Selangor, dan Menara Plaza City One di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, memberitahu bahawa setiap peningkatan kes tersebut adalah berasaskan daripada usaha pengesanan kes secara aktif (ACD) yang dilakukan oleh pihaknya.

Berikut merupakan maklumat data yang dikongsikan beliau dalam sidang media Kementerian Kesihatan (KKM) pada Selasa mengikut pecahan kawasan yang kini di bawah PKPD:-

Kluang, Johor Bahru

- Memiliki penduduk seramai 3,755 orang
- Daripada jumlah itu, seramai 2,536 sudah disaring
- Pertambahan empat kes pada Selasa
- Jumlah kumulatif kes positif ialah 174

Dalam perkembangan sama, terdapat empat kes pertambahan di Bandar Baru Ibrahim Majid. Juga, di Ulu Benut mencatatkan 151 keseluruhan kes, di Kluang pula ada 18 kes, manakala di Machap mempunyai empat kes dan satu lagi kes di Niyor.

Hulu Langat, Selangor

- Mempunyai jumlah penduduk seramai 1,797 orang
- Daripada jumlah itu, 1,728 sudah disaring
- Pertambahan 11 kes positif pada Selasa
- Jumlah kumulatif kes positif ialah 350

Di Kampung Sungai Lui pula, kes positif COVID-19 masih kekal kepada 90 kes. Manakala selain daripada kawasan kampung Sungai Lui, terdapat pertambahan sebanyak 11 kes pada Selasa sekali gus menjadikan kes keseluruhan kepada 260 kes.

Menara Plaza City One, Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur

- Jumlah penduduk kira-kira 5,000 orang
- Seramai 2,109 orang telah disaring
- Pertambahan enam kes positif pada Selasa
- Jumlah kes positif sebanyak 30 kes

Sementara itu, Dr Noor Hisham menjelaskan bahawa pihaknya kini sedang giat melakukan aktiviti pengesanan di bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Ini kerana, bangunan yang mempunyai penghuni di 365 unit rumah dan premis perniagaan itu disahkan mempunyai 15 kes positif COVID-19 pada Selasa.

“Kita dapati ada 15 kes yang positif di situ jadi kita harap dapat saring dua bangunan ini dan segera melakukan aktiviti pengesanan dan asingkan mereka yang mempunyai gejala serta merawat mereka,” katanya lagi.

BACA: COVID-19: 1 lagi kematian, 80 pesakit sihat sepenuhnya - KP Kesihatan

BACA: KKM kesan 69 kes sporadik, iaitu tiada pengesahan asal-usul jangkitan - KP Kesihatan

BACA: Bangunan Selangor Mansion, Bangunan Malayan Mansion laksana PKPD