Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Kes positif kembali dua angka, 15 kes sembuh dan kematian kekal 121

Kes positif kembali dua angka, 15 kes sembuh dan kematian kekal 121
Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata terdapat 15 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kes baharu COVID-19 di negara ini kembali kepada dua angka selepas 10 kes baharu dilaporkan pada Sabtu, menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 8,658 kes.

Daripada jumlah kes baharu, tujuh adalah kes import membabitkan mereka yang pulang dari Arab Saudi, sementara tiga lagi merupakan jangkitan tempatan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua daripada tiga kes jangkitan dalam negara dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia, sementara satu lagi kes membabitkan bukan warganegara.

Ia melibatkan kes saringan Orang Kena Tahan (OKT) di Seremban, Negeri Sembilan sebelum pesakit dipindahkan ke penjara.
Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata terdapat 15 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya ialah 8,461 kes bersamaan 97.72 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Selain itu,  tiada kes kematian baharu dicatatkan, sekali gus menyaksikan jumlah kematian di Malaysia kekal 121 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Setakat ini, dua kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala dua lagi memerlukan bantuan alat pernafasan.

Untuk rekod, kes baharu COVID-19 di negara ini pada Khamis dan Jumaat masing-masing merekodkan tiga dan lima kes sahaja. 

Berikut adalah perincian kes baharu COVID-19: 

- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: Satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM. Kes tersebut telah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh;

- Sabah: Satu kes saringan petugas kesihatan yang telah tamat bertugas di sebuah pusat kuarantin di Likas.


Tag: Noor Hisham Abdullah, Kuala Lumpur, Hospital, Arab Saudi, Seremban, COVID-19



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.