Kes pukul melibatkan pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafie, 11 tahun, yang meninggal dunia petang tadi telah diklasifikasikan semula kepada kes bunuh.

Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, kes tersebut kini akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Kes adik Thaqif Amin, PDRM ucapkan takziah kepada keluarga anak ini dan telah mengklasifikasikan semula siasatan di bawah seksyen 302 bunuh," kata Khalid melalui kemas kini status di akaun Twitternya hari ini.


Untuk itu, katanya PDRM kini sedang menanti laporan penuh perubatan untuk segera menyiapkan laporan siasatan kes berkenaan.


"PDRM akan dapatkan laporan penuh perubatan dan lengkapkan siasatan dengan segera," tulisnya lagi.

Sebelum ini, kes tersebut telah disiasat mengikut seksyen 31(1) Akta Kanak Kanak 2010.

Mohamad Thaqif dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, pada Rabu minggu lepas selepas dipercayai mengalami kesakitan pada bahagian kaki akibat dipukul oleh pembantu warden.

Kedua-dua belah kaki Mohamad Thaqif terpaksa dipotong untuk mengelakkan jangkitan kuman pada bahagian lain tubuh badannya, namun pelajar itu kemudian disahkan koma.

Mohamad Thaqif meninggal dunia jam 2.05 petang tadi.