Mahkamah Sesyen di sini, hari ini diberitahu, 40 pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) yang dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan difailkan untuk didengar di Mahkamah Tinggi oleh pihak pembelaan.

Peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan demikian ketika prosiding pengurusan kes itu di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

"Pihak pembelaan dan pihak pendakwaan telah berbincang dan bersetuju supaya semua dokumen berkaitan kes diserahkan oleh pendakwaan kepada kami dalam masa sebulan lagi. Selepas itu, kami akan failkan kes ini dan membuat permohonan supaya kes didengar di Mahkamah Tinggi di sini," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun pula memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memerlukan masa kerana terdapat lebih 500 dokumen sedang disediakan untuk diserahkan kepada pihak pembelaan.

Rozilah kemudian menetapkan 25 Okt ini untuk pengurusan kes di mahkamah sama.

Terdahulu, Gan memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik permohonan bagi memindahkan 33 pertuduhan rasuah yang dihadapi Ahmad Zahid untuk didengar di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

"Pendakwaan menarik balik permohonan (memindahkan 33 pertuduhan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) memandangkan semakan semula kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (bagi memindahkan tujuh lagi pertuduhan rasuah ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) telah ditolak dan hakim memerintahkan supaya kesemua kes ini kekal untuk didengar di mahkamah ini," katanya.

Pada 31 Julai lepas, pihak pendakwaan memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan Ahmad Zahid untuk memindahkan tujuh pertuduhan bagi dibicarakan bersama 33 lagi pertuduhan rasuah berhubung VLN yang dihadapinya di mahkamah sesyen di sini.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan semula itu pada 28 Ogos lepas kerana tidak menemui kekhilafan dalam perintah pemindahan kes ke Mahkamah Sesyen Shah Alam yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 104 Akta Mahkamah Rendah 1948.

Pada 26 Jun lepas, Ahmad Zahid didakwa atas tujuh pertuduhan menerima suapan daripada sebuah syarikat berjumlah S$4.24 juta membabitkan Sistem VLN, dua tahun lepas.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Ahmad Zahid didakwa telah menerima rasuah berjumlah S$4.24 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN.

Ahmad Zahid dituduh melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya antara 28 Mac 2017 dan 2 Mac 2018.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Manakala pada 27 Jun lepas, Ahmad Zahid didakwa dengan 33 lagi pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta daripada sebuah syarikat berhubung sistem sama.

Bagi 26 pertuduhan, presiden UMNO itu didakwa menerima suapan dari Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd berjumlah S$9,320,000 sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di KDN, telah melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Beliau dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di No 389, Jalan Bayu Nyaman, Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Julai 2017.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Ahmad Zahid didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di KDN Malaysia telah mendapat untuk dirinya satu benda berharga iaitu wang tunai S$150,000, RM325,000, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan dari syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama antara Jun 2015 dan April 2017 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA