Mahkamah Tinggi di sini hari ini dimaklumkan oleh saksi keempat pendakwaan, dia diarahkan mengisi wang ke dalam dua beg di cawangan Maybank di Kuala Lumpur.

Saksi tersebut, Shamsul Rizal Sharbini berkata beliau sebelum itu diarahkan membawa majikannya, Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, ke bank tersebut pada penghujung 2016.

Turut bersama ketika itu ialah rakan Saidi yang dikenali sebagai Razak.

Katanya, beliau diarah membeli dua buah beg galas, masing-masing berharga RM45.

Sebaik sahaja beg itu dibawa ke bank tersebut, Shamsul diarahkan memasukkan sejumlah wang yang kebanyakannya adalah duit kertas RM100 ke dalam kedua-dua beg tersebut.

Sebaik wang itu diisi, Shamsul memberitahu mahkamah, Saidi kemudian mengarahkannya memandu kenderaan ke Pavilion.

Ketika di sana, Shamsul melihat pembantu peribadi Rosmah, Datuk Rizal Mansor berada di lobi bangunan.



Semalam, Mahkamah Tinggi ditunjukkan dengan beberapa gambar lokasi laman rumah termasuk ruang tamu yang didakwa berlakunya penyerahan wang RM1.5 juta kepada isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Susulan itu, Shamsul pada prosiding hari ini turut membuat pengecaman dan mengesahkan telah menghantar dua beg tersebut sebelum ia diletakkan di sofa berwarna hijau di kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam.

Terdahulu, Rosmah tiba di Mahkamah Tinggi kira-kira pukul 9.50 pagi bagi menghadiri perbicaraan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana bagi pembekalan dan pemasangan tenaga solar melibatkan 369 sekolah luar bandar di Sarawak.