Pemandu peribadi kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu mahkamah bahawa dia telah menerima cek Hong Leong Bank Islamic berjumlah RM2 juta pada 14 Jun 2016.

Nik Yahaya Nik Mustapha yang merupakan saksi keempat bagi sesi perbicaraan itu mengesahkan perkara itu ketika disoal peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan.

Menurut Nik Yahaya, cek berkenaan diterima daripada Aset Kayamas Sdn bhd kepada Tadmansori Sdn Bhd yang bernombor 8001179747 dan telah membawa cek berkenaan ke Bank CIMB Berhad cawangan Cawangan Pusat Bandar Damansara.

“Datuk Seri Tengku Adnan telah meminta saya untuk menebus cek ini kepada akaun Tadmansori Sdn Bhd dan di belakang cek juga terdapat tulisan tangan saya yang dibuat sebelum saya menebus cek ini,” katanya menjawab soalan Hock Chuan.

Nik Yahaya turut berkongsi kepada mahkamah bahawa selain menjadi pemandu peribadi, dia juga merangkap pengawal peribadi kepada Tengku Adnan apabila pengawal sedia bercuti atau sakit dan sering menerima arahan dari semasa ke semasa.

Terdahulu saksi ketiga, Daman Huri Nor yang merupakan Setiausaha Bahagian Perlembagaan dan Urusan Parlimen tampil di mahkamah memberi keterangan sebagai pengesahan berhubung jawatan-jawatan yang digalas oleh Tengku Adnan.

Ahli Parlimen Putrajaya itu kini berdepan tuduhan menerima RM2 juta daripada Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank pada 14 Jun 2016 lalu.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Prosiding di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan pada Selasa tamat pukul 3 petang dan akan bersambung semula esok.