Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dikaitkan dengan dakwaan merogol dua wanita Mongolia yang ditahan dalam satu sekatan jalan raya baru-baru ini, digantung tugas sehingga siasatan kes tersebut selesai.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal memberitahu, suspek yang direman lima hari sebelum ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kita telah menghantar notis penggantungan kerja kepada suspek semalam (Rabu)," katanya di sini pada Khamis.

Dalam kejadian pada 11 April lalu, suspek dikatakan menahan dua wanita terbabit dalam satu sekatan jalan raya di sekitar Petaling Jaya sebelum membawa mereka ke sebuah hotel berhampiran lalu merogol mereka.

Mengulas lanjut, Nik Ezanee memberitahu, kertas siasatan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Bukit Aman dua hari lalu untuk tindakan selanjutnya termasuk pendakwaan.

Katanya, bagaimanapun pihaknya menerima arahan supaya mengambil beberapa tindakan susulan berhubung kertas siasatan kes itu, termasuk mengemas kini siasatan.

Dalam pada itu, beliau menambah, kedua-dua mangsa yang berusia 20 dan 37 tahun itu ketika ini diletakkan di bawah Perintah Perlindungan Interim.