Kes SRC: Ada cara untuk buktikan pinjaman RM2b KWAP digunakan untuk tujuan lain - Saksi

Kes SRC: Ada cara untuk buktikan pinjaman RM2b KWAP digunakan untuk tujuan lain - Saksi
Amirul berkata salah satu cara yang boleh digunakan untuk mengesan penggunaan pinjaman tersebut adalah melalui audit forensik. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Saksi ke-29, Amirul Imran Ahmat memberitahu Mahkamah Tinggi pada Rabu terdapat cara untuk membuktikan sekiranya pinjaman RM2 bilion Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada SRC International Sdn Bhd digunakan untuk tujuan lain dan bukannya untuk tujuan asal iaitu untuk pelaburan sumber asli dan modal kerja.

Apabila disoal balas oleh peguam pembelaan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, Harvinderjit Singh , Amirul berkata salah satu cara yang boleh digunakan untuk mengesan penggunaan pinjaman tersebut adalah melalui audit forensik.

Namun, Amirul yang merupakan bekas Penolong Naib Presiden di Jabatan Pendapatan Tetap KWAP berkata ia bukan tugasnya untuk melakukan audit forensik tersebut.

BACA: Kerajaan fail permohonan sita barangan bernilai RM711 juta yang dirampas dari Najib, Rosmah
Harvinderjit: Jika dana dikeluarkan pada hari yang sama dan akaun menunjukkan pengkreditan dana, adakah ia sangat sukar untuk ditentukan dan dikesan melainkan terdapat laporan audit forensik?

Amirul: Ia bukan tugas saya tetapi ia boleh dilakukan.

Harvinderjit: Pengesanan ini boleh dilakukan melalui audit forensik?

Amirul: Ya, ia merupakan salah satu caranya.

Dalam pada itu, ketika diperiksa semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff, Amirul memberitahu bahawa SRC International gagal mengemukakan butiran maklumat dan dokumen yang diperlukan oleh KWAP bagi pemohonan pinjaman berkenaan.

Amirul juga memberitahu Ishak bahawa tiada syarikat lain yang dikecualikan daripada mengemukakan dokumen dan maklumat tersebut.

Ishak: Sepanjang perkhidmatan anda di KWAP, adakah terdapat syarikat lain yang tidak mengemukakan semua dokumen dan butiran maklumat, seperti SRC, apabila mereka memohon untuk pinjaman dengan KWAP.

Amirul: Tidak.

Ishak: Jika mereka tidak mengemukakan dokumen berkenaan, permohonan mereka tidak akan diluluskan?

Amirul: Ya.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Tag: Najib Razak, SRC International, Perdana Menteri, menteri, 1MDB, mahkamah, saksi, kes SRC, KWAP, Amirul Imran Ahmat


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.