Hari kesembilan prosiding perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak menyaksikan mahkamah hari ini diberitahu bahawa berlaku transaksi pengeluaran berjumlah RM3.5 juta dari akaun bekas Perdana Menteri itu.

Pengurus AmBank cawangan Raja Chulan, R Uma Devi berkata, sekeping cek bernilai RM3.5 juta dikeluarkan kepada firma guaman, Hafarizam Wan Aisha and Mubarak.

”Cek tersebut bertarikh 21 Jan 2015 dan didebitkan sehari kemudian,” katanya ketika disoal oleh pendakwa raya, Datuk Suhaimi Ibrahim, di sini hari ini.

Bagaimanapun, berlaku kesilapan menyebabkan penerima hanya menerima RM3,500, kata Uma.

Namun, Uma tidak pasti sama ada pembetulan telah dilakukan oleh pusat pemprosesan cek.

Selain itu, Uma menjelaskan Ahli Parlimen Pekan itu kemudian mengarahkan menutup tiga akaunnya di bank tersebut pada Mac 2015.

Kesemua akaun itu dibuka pada 31 Julai 2013.

“Baki akaun yang ditutup adalah RM103,361.17 dan ia dipindahkan ke Ihsan Perdana Sdn Bhd,” kata Uma ketika diminta membuat pengesahan mengenai tiga akaun berkenaan.

Salah satu nombor akaun daripada tiga akaun tersebut didaftarkan atas nama AM Private Banking OneMy.

Dalam surat arahan penutupan akaun bertarikh 3 Mac 2015 itu juga, kata Uma, Najib mengarahkan bank terbabit memindahkan baki wang berkenaan ke akaun bank milik Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Ihsan Perdana merupakan subsidiari kepada SRC International.

Prosiding berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.