Saksi ke-22 perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak, Liew Chong Lai memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini bahawa beliau menerima RM1 juta daripada bekas Perdana Menteri itu.

Ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Liew mengakui bahawa cek tersebut diterima secara peribadi daripada Najib untuk menampung kerja kebajikan syarikat bernama Solar Shine Sdn Bhd.

Cek tersebut dikeluarkan sekitar Feb 2015.

“Beliau (Najib) menulis cek tersebut,” kata saksi berusia 60 tahun sambil menambah ia antaranya untuk membiayai cenderahati untuk diedarkan kepada masyarakat India.

Katanya, wang berkenaan digunakan untuk kempen mempromosikan agenda 1Malaysia.

Tambah Lew, kempen itu digunakan untuk meninjau sentimen orang ramai terhadap dasar kerajaan, sebelum laporan diserahkan kepada Najib.

Kata Lew lagi, syarikatnya juga menguruskan majlis makan malam untuk masyarakat Cina di kawasan pedalaman.

LIPUTAN KOMPREHENSIF PERBICARAAN NAJIB RAZAK DI SINI


Ketika ditanya mengenai pertemuan dengan Ahli Parlimen Pekan itu, Liew berkata beliau berjumpa Najib pada tahun 2015 bagi bertanyakan bantuan dana bagi meneruskan kempen dalam kalangan komuniti India dan Cina di seluruh negara.

“Saya berjumpa Najib melalui Tan Sri William Cheng. Saya jumpa beliau di tingkat lima Pejabat Perdana Menteri untuk membincangkan isu berkaitan masyarakat Cina,” katanya.

Liew menjelaskan operasi syarikat itu dihentikan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dalam perkembangan sama, saksi ke-23 yang turut ditampilkan hari ini, perunding politik Datuk Habibul Rahman Kadir Shah turut mengesahkan menerima cek berjumlah RM2.5 juta daripada Najib pada 2 Feb 2015 dan mengarahkan ia dimasukkan atas nama Zulqarnain and Co.

BACA: Kes SRC: Orang cakap, kalau jadi PM, semua orang mahu beri derma - Saksi

Prosiding perbicaraan hari ini berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.