Selepas hampir dua tahun satu bulan kes perbicaraan berlangsung, nasib bekas perdana menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bakal ditentukan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada tarikh 28 Julai (Selasa).

Ia berhubung kes penyelewengan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Najib yang diwakili Peguam Bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International.

Sepanjang perbicaraan, sebanyak 750 eksibit dikemukakan termasuk dokumen bank, transaksi tunai, minit mesyuarat dan perbualan menerusi Blackberry Messenger.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan menjadi tumpuan esok atas keputusan yang dijangka diumumkan sekitar jam 10 pagi Selasa.

Hakim Mohd Nazlan pada 5 Jun lalu menetapkan 28 Julai sebagai tarikh keputusan kes selepas mendengar hujah kedua pihak di akhir pembelaan pada 1 Jun lalu.

Najib dituduh buat kali pertama pada 4 Julai 2018 sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2018 dengan pihak pendakwaan diketuai bekas peguam negara Tommy Thomas.

Tommy kemudiannya digantikan Timbalan Pendakwa Raya adhoc, Datuk V Sithambaram.

Perbicaraan selama 94 hari itu menyaksikan 96 orang memberi keterangan dengan 57 saksi pendakwaan dan 19 saksi pembelaan.

Bagi tuduhan pecah amanah, dia didakwa mendapatkan suapan RM42 juta apabila terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan dalam memberikan jaminan kerajaan terhadap pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan kepada SRC International.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu antara Disember 2014 dan Mac 2015 di Bangunan Ambank Group Jalan Raja Chulan, ibu negara.

Bagi tuduhan pengubahan wang haram, dia didakwa menerima RM42 juta hasil aktiviti haram melalui sistem yang dipindahkan mengikut sistem pemindahan dana dan sekuriti secara elektronik masa nyata (rentas) dan didepositkan ke dalam akaun peribadi miliknya di AmIslamic Bank Berhad.

Jika sabit kesalahan, Najib boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.