Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berdepan tujuh pertuduhan berhubung penyelewangan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, akan mengetahui nasibnya pada 11 Nov ini.

Pada hari berkenaan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang mendengar perbicaraan kes itu, akan memutuskan sama ada akan memanggil Najib membela diri atau membebaskannya daripada tuduhan itu.

Mohd Nazlan menetapkan 3 dan 4 Dis, 9 Dis hingga 12 Dis serta 16 Dis untuk mendengar pembelaan Najib sekiranya mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Sebelum itu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mencadangkan agar kes pembelaan bermula pada Januari depan memandangkan pasukan pembelaan terlibat dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib di hadapan hakim lain yang dijadualkan bermula esok sehingga awal November.

"Kami juga perlu berehat. Kami juga merancang untuk bercuti pada Disember," katanya dan memaklumkan mahkamah bahawa beliau mempunyai perbicaraan kes bunuh di Shah Alam.

Mohd Nazlan berkata agak lewat bagi pembelaan untuk memulakan kesnya pada Januari tahun depan memandangkan pendakwaan menutup kes pada Ogos (pada Selasa).

"Malah, saya bersedia untuk mendengar kes pembelaan jika dipanggil membela diri selepas 11 November. Januari agak lewat. Sekurang-kurangnya kita mula awal Disember," kata hakim.

Muhammad Shafee juga memohon kepada pendakwaan supaya mengambil tindakan terhadap artikel yang beliau dakwa menghina perbicaraan.

"Ia antara artikel yang paling teruk, dengan analisis dan angka," katanya tanpa mendedahkan tajuk atau penulis artikel berkenaan.

Sebelum prosiding berakhir, Peguam Negara Tommy Thomas mengucapkan terima kasih kepada Mohd Nazlan yang mendengar perbicaraan kes pendakwaan yang mengambil masa 58 hari.

Najib, 66, Ahli Parlimen Pekan, pertama kali didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai, 2018 untuk berdepan tiga tuduhan pecah amanah (CBT) dan satu tuduhan salah guna kuasa berkaitan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos, beliau didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana yang sama dan kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Beliau didakwa melakukan kesemua tujuh pertuduhan itu antara 17 Ogos, 2011 dan 10 Feb, 2015.

-- BERNAMA