Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan salah guna kuasa berkaitan kes SRC International.

Bagi tiga kesalahan pecah amanah dan tiga lagi kesalahan pengubahan wang haram, setiap pertuduhan membawa hukuman penjara 10 tahun.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak, namun tiada denda dikenakan untuk pertuduhan pengubahan wang haram.

Pertuduhan salah guna kuasa adalah di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala pertuduhan pengubahan wang haram adalah di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.

“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dengan denda minimum lima kali ganda dari nilai suapan iaitu RM210 juta.

“Bagi kesalahan tiga kesalahan pecah amanah, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap kesalahan. Manakala bagi tiga lagi kesalahan dibawah AMLA 2001, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan. Hukuman penjara akan dijalankan secara serentak,” kata Mohd Nazlan.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Najib didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan mendapatkan suapan RM42 juta apabila terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan dalam memberikan jaminan kerajaan terhadap pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan kepada SRC International.

Najib didapati melakukan kesalahan itu antara Disember 2014 dan Mac 2015 di Bangunan Ambank Group Jalan Raja Chulan, ibu negara.

Bagi tuduhan pengubahan wang haram, dia didapati bersalah menerima RM42 juta hasil aktiviti haram melalui sistem yang dipindahkan mengikut sistem pemindahan dana dan sekuriti secara elektronik masa nyata (RENTAS) dan didepositkan ke dalam akaun peribadi miliknya di AmIslamic Bank Berhad.

Jika sabit kesalahan, Najib boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.