Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Kes SRC: Najib mohon derma daripada Arab Saudi, bukan ditawar - Jamil Khir

Kes SRC: Najib mohon derma daripada Arab Saudi, bukan ditawar - Jamil Khir
Jamil berkata beliau difahamkan bahawa derma itu akan disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib bagi memudahkan dan melancarkan perjalanan politiknya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Kerajaan Malaysia melalui Datuk Seri Najib Tun Razak memohon sumbangan derma daripada Arab Saudi, dan bukan ditawarkan oleh negara berkenaan.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata beliau tahu mengenai permohonan itu tetapi perkara berkenaan tidak dibincangkan di kabinet kerana tidak termasuk dalam urusan pentadbiran.
Bagaimanapun, Jamil Khir, menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam ketika itu, bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Datuk V.Sithambaram bahawa perkara mengenai derma itu disembunyikan daripada rakyat.

Terdahulu, ketika membacakan penyataan saksinya, Jamil Khir, 59, berkata beliau difahamkan bahawa derma itu akan disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib bagi memudahkan dan melancarkan perjalanan politiknya.
"Kalau tidak silap saya, Raja Arab Saudi, Almahrum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud ada juga menyebut bahawa baginda akan menghantar sumbangan dana ini tidak lama lagi dan menyebutkan saluran dana ini akan dihantar ke akaun peribadi Najib.

"Raja Abdullah khuatir saluran terus ke dalam mana-mana entiti organisasi politik akan merumitkan cara perbelanjaan dana tersebut," katanya sambil menambah, beliau berada di belakang Najib ketika perbualan antara kedua-dua pemimpin itu di Istana Riyadh pada 11 Jan, 2010.

Bagaimanapun, saksi pembelaan kelima itu berkata secara peribadi beliau tidak tahu sama ada Raja Abdullah benar-benar menghantar dana ke dalam akaun Najib atau tidak.

Sithambaram: Selepas Raja Abdullah menceritakan mengenai duit akan masukkan ke dalam akaun peribadi, baginda tidak beritahu berapakah derma yang akan beliau salurkan?

Jamil Khir: Tidak

Saksi juga berkata, beliau tidak ingat sama ada rakyat Malaysia diberitahu bahawa Arab Saudi memberi derma kepada Najib untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13.


Sithambaram:  Adakah kamu tahu bahawa pada Ogos tahun 2013, wang sejumlah US$620 juta (RM2.03 bilion) telah dikembalikan semula oleh Najib kepada Tanore Finance Corporation, yang dikatakan diterima daripada Arab Saudi?

Jamil Khir: Saya tidak tahu

Beliau juga tidak tahu bila Najib menerima derma pertama daripada Arab Saudi dan tidak tahu syarikat mana yang menghantar derma berkenaan.

Ketika pemeriksaan semula oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah  yang mewakili Najib, mengenai sebab sumbangan daripada Arab Saudi itu tidak dibincangkan secara umum, saksi itu berkata ia kerana sumbangan tersebut diberikan kepada Najib secara peribadi.

"Saya rasa ini sumbangan peribadi yang diperbolehkan di dalam konteks peruntukan undang-undang negara kita. Mungkin kerana itu ia tidak menjadi perbincangan," katanya.

Terdahulu, Jamil Khir menceritakan pengalamannya dihadiahkan sebatang pen dihiasi permata daripada Arab Saudi sebagai tanda penghormatan dan "penerimaan" orang Arab terhadap seseorang individu.

"Saya membawa pen itu ke mahkamah hari ini," katanya sambil mengeluarkan sebatang pen berwarna hitam daripada poket bajunya dan menunjukkan kepada umum.

Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd membabitkan tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Khamis ini dengan bekas Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman akan memberi keterangan.-- BERNAMA



Tag: Najib Razak, Anifah Aman, Jamil Khir Baharom, Muhammad Shafee Abdullah, Jamil Khir, SRC International, Arab Saudi, Malaysia, rakyat Malaysia, undang-undang, politik



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.