Pertimbangan Jemaah Menteri untuk mempercepatkan jaminan kepada SRC International terhadap pinjaman RM2 bilion bukanlah amalan biasa Kementerian Kewangan.

Bekas Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Maliami Hamad menjelaskan, lazimnya syarikat yang memohon perlu mengemukakan maklumat yang dipohon oleh Kementerian Kewangan lebih awal untuk tujuan penyediaan Memorandum Jemaah Menteri (MJM).

“Atas sebab mengejar masa untuk kemukakan MJM kepada bahagian Kabinet Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada hari yang sama iaitu 15 Ogos 2011, bahagian saya terpaksa bergantung kepada maklumat daripada wakil SRC.

“Draf memo iringan dalaman yang disediakan adalah daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan kepada Tan Sri Nor Mohamed Yakcob iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Memo tersebut adalah untuk tujuan mengangkat draf MJM untuk pertimbangan Jemaah Menteri supaya memberikan jaminan SRC untuk pinjaman RM2 bilion,” katanya semasa memberikan keterangan membabitkan dana SRC International melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini, pada Isnin.

Peguam Negara, Tommy Thomas, mengetuai pendakwaan manakala Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengetuai perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ketika sesi soal balas pasukan pendakwaan, Datuk Shuhaimi Ibrahim meneliti kenyataan Maliami dan mengesahkan butirannya.

Shuhaimi: Bagi jaminan kerajaan yang pertama, anda menyebut Nik Faisal dan wakil lain daripada SRC datang ke Kementerian Kewangan. Adakah ia prosedur biasa bagi pegawai untuk datang dan melawat anda?

Maliami: Biasanya, pegawai daripada syarikat akan datang dan berjumpa saya. Dalam kes ini, mereka menelefon saya untuk membuat temujanji

Shuhaimi: Siapa?

Maliami: Nik Faisal

Tambah Maliami, beliau juga menerima tekanan supaya MJM disediakan segera untuk dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Ogos 2011.

“Masa adalah terhad. Arahan keperluan untuk menyegerakan penyediaan MJM juga bukan datang dari SRC tetapi juga Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz yang saya tahu menerima arahan daripada Najib,” ujarnya.