Kes SRC Najib: Prosiding bersambung jam 9 pagi esok

Kes SRC Najib: Prosiding bersambung jam 9 pagi esok
Najib kemudian keluar meninggalkan kompleks mahkamah dan enggan mengulas lanjut ketika ditanya pihak pemberita. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Prosiding perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana RM42 juta membabitkan SRC International Sdn Bhd disambung semula jam 9 pagi, esok.

Penangguhan prosiding tersebut susulan terdapat perbezaan antara dokumen yang diserahkan kepada Pihak Pembelaan dan dimiliki oleh Pasukan Pendakwaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan sehingga pukul 9 pagi, pada Selasa.
Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram memaklumkan kepada mahkamah bahawa proses membuat salinan dokumen yang diperlukan pasukan pembelaan Najib mengambil masa lebih lama dari jangkaan.

"Proses salinan (fotostat) mengambil masa lebih lama dari dijangka, dan malah mungkin sehingga pukul 5 petang," katanya, di sini hari ini.

Terdahulu, prosiding perbicaraan ditangguh hampir 20 minit selepas pasukan pembelaan Najib mahu mendapatkan dokumen yang diperlukan untuk soal balas saksi kedua, Azizul Adzani Abdul Ghafar.

Najib kemudian keluar meninggalkan kompleks mahkamah dan enggan mengulas lanjut ketika ditanya pihak pemberita.

BERITA LANJUT MENYUSUL