Kes SRC: Najib tiba di kompleks mahkamah, perbicaraan bersambung hari ini

Kes SRC: Najib tiba di kompleks mahkamah, perbicaraan bersambung hari ini
Najib tiba jam 9.01 pagi menaiki kereta Proton Perdana hitam diiringi sebuah kereta peronda polis. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, di sini, untuk proses perbicaraan berhubung kes dana SRC International Sdn Bhd.

Bekas perdana menteri itu tiba jam 9.01 pagi menaiki kereta Proton Perdana hitam diiringi sebuah kereta peronda polis.

Sebaik tiba, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan dikawal ketat anggota polis.

Terdahulu, peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan tiba di sini kira-kira pukul 8.50 pagi.

Najib tenang ketika tiba di Kompleks Mahkamah dan tidak kelihatan ahli keluarga sama ada anak lelakinya, Norashman menemaninya.

Bekas menteri kewangan itu dilihat memakai sut lengkap berwarna gelap, kemeja putih dan bertali leher warna kelabu.


Ahli Parlimen Pekan berusia 66 tahun itu berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, Najib boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda yang boleh sampai lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pada prosiding bicara 3 April lalu, pihak pendakwaan memanggil seorang saksi untuk memberi keterangan.

Pada prosiding itu juga, kesemua tujuh pertuduhan ke atas Najib dibacakan semula dan beliau kekal mengaku tidak bersalah terhadap setiap pertuduhan dikenakan.

Perbicaraan bermula hari ini sehingga 10 Mei.