Tutup

Kes SRC Najib: Transaksi RM40 juta dan RM5 juta dikesan - Pegawai BNM

Kes SRC Najib: Transaksi RM40 juta dan RM5 juta dikesan - Pegawai BNM
Menurut pegawai penyiasat Bank Negara Azizul Adzani Abdul Ghafar, transaksi tersebut antara Disember 2014 hingga Februari 2015, yang mana semua dokumen ini diperolehi ketika serbuan yang dibuat pada 6 Julai 2015. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Pegawai penyiasat Bank Negara Azizul Adzani Abdul Ghafar memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, antara dokumen yang diserahkan oleh kakitangan AmBank cawangan Jalan Raja Chulan adalah berkaitan transaksi dana berjumlah RM40 juta dan RM5 juta.

Katanya, transaksi tersebut antara Disember 2014 hingga Februari 2015, yang mana semua dokumen ini diperolehi ketika serbuan yang dibuat pada 6 Julai 2015.
Beliau berkata demikian ketika soal balas oleh peguam bela Datuk Seri Najib Razak, Harvinderjit Singh, di sini, pada Selasa.

Bagaimanapun, setakat ini tidak dapat dipastikan akaun mana yang membabitkan transaksi tersebut.
Prosiding perbicaraan yang memasuki hari ketiga membabitkan bekas Perdana Menteri hari ini sedang berlangsung dengan pihak pendakwaan menyoal balas Azizul mengenai penglibatannya dalam operasi geledah pada 6 Julai 2015 di AmBank cawangan Raja Chulan.

BACA: Buktikan yang Najib sedar wang itu dari sumber haram - Peguam Shafee Abdullah

Azizul memaklumkan serbuan di premis terbabit dijalankan sekitar jam 9 pagi sehingga jam 9 malam.

Prosiding dijalankan di depan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Ketika disoal mengenai kenapa operasi tersebut berlarutan sehingga malam, Azizul memaklumkan beliau hanya menunggu pasukan penyiasat lain menyelesaikan serbuan tersebut untuk pulang bersama.

Kata saksi kedua itu, beliau tidak tahu secara terperinci serbuan itu dijalankan di tingkat mana.

Dalam pada itu, Azizul mengakui bahawa tiga daripada empat akaun yang diperolehi ketika serbuan pada 6 Julai 2015 di Ambank, telah ditutup.

Kesemua akaun itu masing-masing ditutup pada 26 dan 30 Ogos 2013.

Pada prosiding semalam, Azizul memberitahu sebanyak lapan dokumen termasuk empat akaun Ambank milik Ahli Parlimen Pekan itu telah diambil dari AmBank cawangan Raja Chulan bagi tujuan siasatan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Najib berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, Najib boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda yang boleh sampai lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pada prosiding bicara 3 April lalu, pihak pendakwaan memanggil seorang saksi untuk memberi keterangan.

Pada prosiding itu juga, kesemua tujuh pertuduhan ke atas Najib dibacakan semula dan beliau kekal mengaku tidak bersalah terhadap setiap pertuduhan dikenakan.

Perbicaraan bermula Isnin sehingga 10 Mei.


Tag: Bank Negara, Najib Razak, mahkamah, siasatan, Bank Negara Malaysia, Azizul Adzani Abdul Ghafar, AmBank, transaksi, SRC International, SRC



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.