Bekas Ahli Lembaga Pengarah SRC International, Tan Sri Ismee Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau tidak melihat bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menandatangani minit Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 23 April 2012 yang meluluskan pindaan ‘memorandum of association’ (memorandum persatuan) syarikat berkenaan.

Pindaan dibuat ke atas Perkara 117 memorandum persatuan syarikat SRC International membolehkan pelantikan Najib sebagai Penasihat Emeritus syarikat tersebut.

Terdahulu, saksi ke-39 tersebut memberitahu mahkamah bahawa pindaan tersebut memerlukan Lembaga Pengarah SRC International memberikan pertimbangan yang sewajarnya dan bertindak di bawah nasihat Najib selaku Penasihat Emeritus kepada syarikat tersebut.

Ismee apabila disoal balas oleh peguam pembelaan, Harvinderjit Singh mengesahkan bahawa beliau tidak tahu minit pertemuan tersebut.

Hal ini kerana beliau bergantung sepenuhnya kepada kenyataan Pengarah SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil dalam mesyuarat bersama-sama Lembaga Pengarah pada 8 Jun 2012.

“Anda kata minit mesyuarat tersebut ditandatangani Najib. Bagaimanapun, anda tidak boleh mengesahkan sama ada beliau menandatanganinya di depan anda.

“Anda hanya tahu mengenainya melalui Nik Faisal.

“Anda tidak tahu secara terperinci bagaimana minit tersebut berlaku?” soal Harvinderjit.

Untuk rekod, memorandum persatuan menjelaskan beberapa perkara yang merangkumi nama syarikat, lokasi pejabat berdaftar, kuasa dan liabiliti syarikat serta modal yang dibenarkan.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.