Mahkamah Majistret Johor Bahru membenarkan lanjutan reman tujuh hari ke atas seorang lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh di stesen minyak Taman Pelangi di sini.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias membenarkan sambungan reman sehingga 4 Jan depan bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadap suspek.

Suspek berumur 22 tahun itu antara tujuh individu yang ditahan di Singapura pada 20 Dis lalu dan direman seminggu yang berakhir hari ini.

Bagaimanapun, enam suspek lain serta seorang lagi yang ditahan reman bersama sehingga hari ini, dibebaskan.

Difahamkan suspek yang disambung reman disyaki individu yang mempunyai maklumat mengenai suspek, berikutan keterangan saksi menunjukkan dia bertemu dengan suspek utama kes pembunuhan sebelum kejadian.

Semalam, dua suspek berumur 19 dan 22 tahun yang ditahan sebelum ini disambung reman enam hari sehingga 2 Jan depan manakala empat suspek yang ditahan reman bersama dibebaskan.

Suspek ke-15 masih ditahan reman sehingga Sabtu ini.

Pada 17 Dis lalu, seorang lelaki berusia 30-an maut selepas diserang oleh sekumpulan lelaki yang menaiki sebuah kenderaan BMW berwarna putih.

Mangsa yang sempat bergelut kemudian ditikam, dilanggar dan digilis sehingga mati.

Ketika kejadian, mangsa bersama seorang wanita warga asing berusia 20-an sedang mengisi angin tayar, sebelum didatangi suspek yang cuba menarik mangsa masuk ke dalam kereta mereka.