Tahap kesedaran masyarakat terhadap ancaman pedofilia perlu dipertingkat secara berterusan.

Biarpun kesedaran itu wujud pada masa kini, namun fahaman berkenaannya belum diperluas.

Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) , Datin Paduka Che Asmah Ibrahim menjelaskan, pelbagai pihak terutama institusi keluarga tidak boleh memandang enteng terhadap perkara itu.

“Saya rasa kesedaran itu sudah ada, tetapi masih perlu kita teruskan dan tingkatkan. Ada dalam kalangan pasangan muda , kadang-kadang memang ada yang memiliki kesedaran tinggi dan mereka sangat peka.

“Tapi ada juga yang masih mengambil ringan. Kita tengok dekat kedai-kedai makan, ibu bapa (sibuk) tengok telefon (bimbit) masing-masing tanpa mempedulikan anak-anak,” ujar Che Asmah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi Seminar Lindungi Diri dan Keluarga - Pedofilia, Pornografi dan Jenayah Siber di Johor Bahru.

Turut hadir, Presiden Jewel, Woo Sow Pheng, dan Ketua Wanita Ikram Malaysia Negeri Johor, Sabariah Manshor.

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan hadir ke seminar berkenaan sekali gus melancarkan Pakej Modul Sejahtera: Lindungi Diri dan Keluarga.

Pakej modul itu dihasilkan Ikram bertujuan memberi kesedaran dan pendidikan berterusan dalam usaha melindungi diri dan keluarga dari sebarang ancaman gangguan seksual atau pedofilia dengan menekankan pembangunan sahsiah yang seimbang dari aspek rohani, jasmani, emosi dan intelek.

Pakej modul tersebut adalah langkah jangka panjang dan usaha pencegahan yang berterusan, dan ia merangkumi merangkumi program-program susulan yang boleh ditawarkan kepada masyarakat.

Modul Sejahtera menawarkan empat pakej utama bersesuaian dengan pelbagai peringkat umur iaitu Pakej Semai untuk 4-6 tahun, Pakej Tunas untuk 7-12 tahun, Pakej Mekar bagi 13-17 tahun dan Pakej Sinar untuk 18 tahun ke atas.

Pakej-pakej itu menawarkan beberapa program atau aktiviti yang boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian peserta, masa dan tempat.