Isu kesihatan mental perlu ditangani segera sebelum meningkat ke tahap membimbangkan, kata Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Mariam Mas Yacob.

Beliau berkata, 4.2 juta orang menghidap penyakit itu di seluruh negara dan ia kini penyakit kedua tertinggi selepas penyakit jantung menjelang 2020.

Beliau berkata, sebanyak 1,234 kes bunuh diri dan 171,252 kes pencerian dari tahun 2014 hingga 2016 adalah disebabkan masalah kesihatan mental.

"Masalah kemurungan dipercayai menjadi penyumbang utama kenapa pesakit mental mencederakan serta membunuh diri," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Terapi Minda LPPKN@NGO diresort Raja Dagang, di sini, pada Jumaat.

Seramai 80 warga komuniti Kampung Permatang Sungkai menyertai bengkel berkenaan. Turut hadir Pengarah LPPKN Kelantan, Lim Lee Peng.

Mariam berkata, LPPKN menyediakan perkhidmatan sokongan psikologi dan kaunseling selain aktiviti dalam komuniti membabitkan terapi pengurusan tekanan hidup, emosi dan pengurusan marah.

Katanya, kaunselor LPPKN bersedia turun padang untuk membantu individu atau keluarga yang menghadapi masaalah berkenaan.

"Tahun lalu sebanyak 87 kes kaunseling kesihatan mental dirujuk kepada LPPKN Kelantan," katanya,

Mariam berharap badan-badan bukan kerajaan (NGO) turut membantu dengan berganding bahu bersama LPPKN dalam merencanakan program yang mampu menyumbang ke arah kesejahteraan hidup komuniti.

-- BERNAMA