SETIAP 5 Disember sejak tahun 1985, jutaan sukarelawan di seluruh dunia meraikan Hari Kesukarelawanan Antarabangsa, yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai token penghargaan atas sumbangan badan-badan para sukarelawan sedunia. Pada majlis sambutannya tahun lepas, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, telah menekankan nilai sumbangan para sukarelawan kepada pembangunan dari aspek ekonomi dan sosial.

“Berasaskan nilai perpaduan dan kepercayaan bersama, semangat kesukarelawanan menyeberangi semua sempadan budaya, bahasa dan geografi. Dengan mengorbankan masa dan kemahiran tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran berbentuk material, sukarelawan disatukan oleh tujuan nurani yang sama.” (Ban Ki-moon)

Kajian Eurobarometer pada tahun 2006 menganggarkan bahawa sejumlah 140 juta orang sukarelawan sepenuh masa sedunia menyumbangkan USD 400 billion, iaitu kira-kira atau 7% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia. Termasuk para pekerja sepenuh masa dalam bidang terbabit, mereka akan membentuk negara berpenduduk kesembilan tertinggi di dunia.

Sukarela, tetapi wajib? Kesukarelawanan sebagai Fardu Kifayah

Agama Islam memberi satu perspektif indah kepada kesukarelawanan melalui konsep fardu kifayah, di mana beban tanggungjawab sosial wajib ditanggung bersama. Konsep ini menggariskan kewajiban melaksanakan tanggungjawab sosial kepada seseorang individu, sekiranya masih belum ada mana-mana anggota dalam sesebuah masyarakat terbabit yaang telah melaksanakannya. Sebaliknya, beban dosa akibat kegagalan dalam pelaksanaan tanggungjawab sosoal terbabit ditanggung oleh setiap ahli masyarakat.

Contoh awal konsep kesukarelawanan dalam kehidupan manusia telah dizahirkan dalam masyarakat Islam Madinah di bawah kepimpinan junjungan Nabi Muhammad SAW, yang sebelumnya berpecah-pecah akibat sikap tamak dan mementingkan diri sendiri yang tertanam di lubuk keberadaan masyarakat Arab. Masjid Nabawi yang tersergam indah di Madinah juga merupakan sebuah manifestasi sumbangan kesukarelawanan melalui khidmat tenaga dan wang. Tentera yang mempertahankan Madinah daripada serangan puak Quraisy Makkah juga terdiri daripada golongan sukarelawan.

Di Amerika pula, aktiviti kesukarelawanan lahir pada era penjelajahan orang-orang Eropah ke barat merentasi lautan Pasifik. Para penjelajah ke "Dunia Baru" (Amerika) ketika itu tiada pilihan selain untuk membentuk satu sistem sokongan yang kukuh demi memastikan kelangsungan hidup.

Aktiviti kesukarelawanan pada zaman itu telah mengasaskan sistem-sistem asas kehidupan seperti pertanian dan pengairan serta penjagaan kesihatan dari wabak-wabak asing ketika ketiadaan sebuah sistem pentadbiran yang rasmi. Kesannya secara langsung ialah pembentukan perpaduan di kalangan masyarakat koloni awal Amerika Utara.

Pada pertengahan abad ke-19, inisiatif pengumpulan dana setempat secara sukarela menjadi asas kepada penubuhan sistem-sistem koperasi yang kemudiannya melahirkan sektor penyediaan barangan dan perkhidmatan awal di Eropah.

Sukarelawan Bersifat Sukarela

Manusia sebagai salah satu ejen ekonomi secara asasnya mementingkan kepentingan diri sendiri dan bertujuan memaksimakan utiliti masing-masing. Maka, bagaimanakah boleh wujudnya sukarelawan itu? Setiap cabang ilmu cuba mengusulkan jawapan yang berbeza.

Ahli ekonomi biasanya akan cuba mengirakan manfaat-bukan-wang yang mungkin diperolehi oleh aktiviti kesukarelawan, manakala ahli sosiologi berpendapat bahawa kesukarelawanan merupakan satu kaedah manusia menzahirkan prinsip-prinsip kemasyarakatan mereka seperti perpaduan, solidariti dan demokrasi. Ahli psikologi pula mendefinisikan sifat kesukarelawanan sebagai semula jadi dalam seseorang individu.

Fenomena kesukarelawan sukar didefinisikan secara akademik kerana lazimnya, persepsi umumlah yang mendefinisikannya. Walau bagaimanapun, terdapat tiga ciri-ciri umum seorang sukarelawan selain daripada “bekerja tanpa gaji”. Satu, kesukarelawanan itu lahir melalui kesanggupan mendahului tanggungjawab berbayar ataupun tanggungjawab kekeluargaan dan keduanya, kesukarelawanan itu mestilah menatijahkan kepada sebarang bentuk sumbangan kepada masyarakat. Ciri-ciri ini tidak terhapus walaupun sukarelawan mendapat manfaat peribadi daripada melakukan kesukarelawanan terbabit, seperti kepuasan hati, peluang bersosial dan berpersatuan, penghargaan daripada media dan sebagainya.

Kemunculan Sukarelawan di Negara Membangun

Sektor sukarelawan kini sudahpun menjadi bahagian penting dalam aspek-aspek sosio, ekonomi dan politik kebanyakan negara maju. Sektor ini juga telah mula muncul secara aktif di sebahagian besar negara-negara membangun. Pembangunan intensif sektor ini kini beberapa dekad kebelakangan ini boleh disebabkan oleh beberapa faktor. Lazimnya, sukarelawan dilihat tumbuh seperti "cendawan selepas hujan" kerana kemunculan sifat kemajmukan, keinginan untuk kebebasan berbicara serta tekanan dan pengaruh luar dalam mewujudkan solidariti antara rakyat.

Gerakan sukarelawan turut berkait rapat lahir menerusi kemajuan sesuatu masyarakat serta kebangkitan populis menentang kesan-kesan sampingan negatif sesebuah sistem kapitalis. Biarpun persepsi-persepsi sebegini ada benarnya, punca utama pembangunan sektor kesukarelawanan ini ialah kegagalan sistem pasaran dan kerajaan dalam memperuntukkan barangan dan perkhidmatan secara efektif kepada rakyat.

Ramai di Malaysia sering salah dalam berpendapat bahawa badan-badan bukan kerajaan diwujudkan untuk membangkang kerajaan. Realitinya, sektor kesukarelawanan menjadi pelengkap kepada sistem peruntukkan dan pengagihan sektor kerajaan terutamanya dari segi pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan sosial. Sokongan kerajaan untuk sektor ini dapat dilihat melalui sumber perolehan dana sektor kesukarelawanan di peringkat global; secara puratanya, 40% daripada dana telah diterima dari kerajaan, manakala 10% datang dari individu dan selebihnya melalui kutipan yuran. Sumber dan dana kepada sektor kesukarelawanan ini berkadar langsung dengan kekayaan sesebuah negara atau masyarakat.

Negara yang maju dan membangun mempunyai keperluan dan kekurangan yang berbeza, maka jenis gerakan sukarelawan yang muncul, dan kaedah yang digunakan juga berbeza. Misalnya, aktiviti kesukarelawanan di kebanyakan negara membangun mungkin menekankan kepada keperluan pendidikan, hak asasi manusia atau penjagaan anak yatim.

Negara-negara maju Eropah pula mungkin menyaksikan pembangunan aktiviti sukarelawan lebih kepada penyerapan masuk generasi kedua pendatang asing ke dalam masyarakat mereka, serta pelbagai kesan reaksi berbalik terhadap urbanisasi.

Di Amerika pula, para sukarelawan bertugas untuk segmen-segmen masyarakat yang semakin terhimpit oleh tekanan dan kesan negatif sistem kapitalis yang terbenam dalam benak masyarakat mereka. Namun secara rumusnya, sektor kesukarelawan merupakan sektor yang tidak berasaskan keuntungan tetapi mempunyai matlamat sosial yang tertentu.

Sektor Kesukarelawan Sebagai “Sektor Ketiga” dan Masyarakat Sivil

Sejak tahun 1970an, kesukarelawanan telah dilabel sebagai sektor ketiga selepas sektor kerajaan dan sektor swasta. Ramai yang telah menobatkan sektor kesukarelawanan sebagai “penyelamat demokrasi” dan “kebangkitan masyarakat sivil”. Para akademik melabelkan sektor ketiga sebagai alternatif yang berpotensi untuk meluaskan keterangkuman sistem kebajikan selain yang telah dilaksanakan oleh kerajaan mahupun sektor swasta. Persoalannya apakah itu masyarakat sivil dan bagaimanakah sektor ketiga boleh "menyelamatkan demokrasi"?

Awalnya, masyarakat sivil ialah istilah yang diguna pakai untuk menggambarkan masyarakat yang hidup di bawah suatu sistem kerajaan yang berfungsi. Meningkatnya penglibatan kerajaan dalam isu-isu kebajikan telah menyebabkan masyarakat sivil diposisikan sebagai satu lagi sektor lain, semata-mata untuk mewakili ejen ekonomi ketiga (iaitu isi rumah), memperjuangkan hak mereka di bawah panji-panji seperti “kebajikan”, “kemanusiaan” dan “kesaksamaan”. Kerajaan tetap berperanan sebagai pengemudi utama sistem kebajikan yang menyediakan khidmat pengagihan sumber, penyediaan kegunaan awam dan kekayaan bersama. Sektor ketiga ini sekadar berkongsi beban pelaksanaan kebajikan masyarakat ini, tanpa menuntut sebarang tanggungjawab berkuasa, mengawas mahupun memerintah seperti yang ditanggung oleh kerajaan.

Kesukarelawanan adalah asas kepada sesebuah masyarakat sivil. Hal ini kerana masyarakat sivil ialah satu tindakan bersama dan kolektif tanpa paksaan dan arahan. Masyarakat sivil dibentuk oleh sebuah kumpulan individu yang mempunyai minat, tujuan dan nilai yang sama. Dalam erti kata lain, masyarakat sivil ialah rakyat itu sendiri, digerakkan oleh kemahuan dan kesanggupan peribadi. Sektor ketiga ialah sektor di mana tergolongnya persatuan kebajikan, badan-badan bukan kerajaan, kumpulan keagamaan, persatuan perniagaan, kumpulan bantu diri, gerakan sosial, pakatan dan kumpulan advokasi.

Para Akademik telah menggariskan tiga peranan utama masyarakat sivil; menyediakan khidmat, mewakili rakyat dan pengawasan.

Masyarakat sivil mencapai tiga peranan di atas melalui pelbagai kaedah. Pertama, masyarakat sivil berperanan sebagai penganalisa bebas polisi awam justeru pengusul cadangan pembaikan. Kedua, masyarakat sivil menjadi pemerhati dalam memantau perkembangan kerajaan dan memastikan akauntabiliti dan integriti dalam sektor perkhidmatan kerajaan.

Ketiga, masyarakat sivil menyediakan saluran bagi komuniti mengenalpasti, menyuarakan dan bertindak selaras dengan sistem kepercayaan mereka. Keempat, masyarakat sivil bertindak sebagai ejen politik yang sah untuk mewakili rakyat terpinggir dalam masyarakat dalam arena politik dan pentadbiran. Masyarakat sivil ialah juga satu industri tersendiri, yang memberi sumbangan dalam bentuk khidmat kepada masyarakat melalui cara permintaan dan penggunaan produk-produk barangan dan perkhidmatan dari kedua-dua sektor lain tadi.

Secara langsungnya, sektor sukarelawan menghasilkan nilai tambahan melalui pemberian barangan dan khidmat secara langsung. Contoh terbaik ialah pembelian dan pendermaan barang makanan dan keperluan harian kepada golongan miskin, dan khidmat pengajaran yang disediakan secara percuma kepada anak-anak kurang bernasib baik. Secara tidak langsung, sektor sukarelawan membantu ekonomi melalui sektor perniagaan (swasta) tempatan; permintaan barangan dan perkhidmatan yang diniagakan meningkat kerana permintaan daripada sektor ketiga ini. bagi pihak mereka yang asalnya kurang mampu.

Cabaran Sektor Ketiga

Pelaksanaan sektor ketiga tidak lari daripada cabaran. Masyarakat sivil bertindak dalam gerakan yang kecil dan terpecah, menyebabkan mereka sukar didengari dan kurang berpeluang memberi pengaruh yang kukuh. Jika semua gerakan-gerakan ini berpeluang bergerak bersama sekalipun, kualiti sebenar peluang itu dan kebolehan untuk mencanangkan perubahan masih boleh dipertikaikan.

Seterusnya, sektor ketiga juga mungkin berhadapan dengan tuduhan digerakkan oleh golongan elit kerana benar, kebanyakkan pengasas dan penggerak badan-bukan kerajaan ini lazimnya terdiri daripada mereka yang berpengalaman atau pakar, berbanding individu biasa.

Hal ini berkemungkinan mengurangkan integriti sektor ini. Cabaran lain pula ialah untuk menyeimbangkan kepelbagaian dan keberkesanan. Masyarakat sivil beraspirasi untuk berperanan sebagai "penawar" kepada "penyakit-penyakit" dalam cabang demokrasi melalui kebolehannya memastikan inclusiveness dalam memenuhi pelbagai kehendak dan memberi suara kepada pelbagai kumpulan rakyat yang berbeza. Cabaran untuk menyatukan kepelbagaiaan ini akan menjadi halangan terakhir ke arah satu sektor ketiga yang kukuh dan berpengaruh.

Sektor Ketiga: Ejen Pemerkasaan Demokrasi

Jika dilihat dari sudut rangka sistem pentadbiran yang lebih luas, sektor ketiga dalam negara yang membangun seperti Malaysia boleh menjadi proksi kepada ketelusan dan kemapanan sistem demokrasi. Umum diketahui bahawa masyarakat sivil ialah asbab dan tenaga yang mendukung sektor kesukarelawanan.

Definisi masyarakat sivil akan terus menjadi topik perbahasan, namun telah wujud keperluan untuk mengkaji langkah-langkah untuk membina sektor ketiga yang lebih kukuh dan berfungsi. Hal ini boleh dicapai melalui eksperimen yang berterusan dengan pelbagai pilihan dan kaedah berpersatuan, organisasi dan usaha-usaha lain yang dapat memakmurkan sektor ketiga ini.

Cabarannya bukanlah untuk menarik minat dan penglibatan rakyat biasa, tetapi untuk memastikan organisasi yang terbentuk oleh rakyat biasa ini, mekar menjadi satu suara yang cukup berpengaruh dan disegani agar perubahan dan pembaikan dapat dilaksanakan.

Sumbangan sektor ini kepada usaha-usaha memerkasakan demokrasi pula akan bergantung kepada bagaimana sektor ketiga ini akan muncul sebagai watak baru dalam proses pembinaan demokrasi lantas menempatkan dirinya setanding dengan sektor-sektor yang sedia ada.

Tiba masanya demokrasi yang pasif memberi laluan kepada demokrasi aktif, di mana masyarakat sivil memperjuangkan penglibatan yang menyeluruh, berbanding dengan hanya pergi membuang undi setiap lima tahun sekali.



*Anas Alam Faizli memegang ijazah kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan. Beliau adalah seorang profesional bidang pembinaan dan minyak & gas, seorang warganegara Malaysia yang prihatin dan adalah pengarang Rich Malaysia, Poor Malaysians dan bertweet di @aafaizli

** Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.