Orang ramai masih mempunyai pilihan untuk terus memandu kenderaan sendiri atau menaiki pengangkutan awam ekoran kenaikan kadar bayaran parkir di sekitar Kuala Lumpur.

Namun tegas Datuk Bandar, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin, sebarang kesulitan yang dihadapi ketika menggunakan perkhidmatan itu bukanlah di bawah tanggungjawab Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sebaliknya memberitahu, ia berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan sementara DBKL hanya melaksanakan tanggungjawab menjaga parkir.

"Yang saya nak kawal adalah penggunaan parkir supaya orang ramai tak menggunakannya seperti milik mereka seorang sahaja.

"Tak ada kena mengena. Saya tak nampak hubung kaitnya," jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI.

Katanya, pengguna sepatutnya sudah bersedia dengan situasi ini kerana pengumuman tentang pelaksanaannya sudah diuar-uarkan kira-kira sebulan yang lepas oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

"Ia adalah dasar yang dibuat oleh kementerian. Kita hanya melaksanakannya sahaja," ujarnya.

Pada masa sama, beliau yakin pengguna tetap menggunakan tempat parkir di sekitar ibu kota walaupun kadar cajnya dinaikkan sehingga 150 peratus.

'Masih murah'

Bagi Mhd Amin, kenaikan daripada 80 sen kepada RM2 sejam adalah masih murah, malah memberitahu dirinya juga tidak dapat mengelak daripada membayar dengan kadar tersebut kerana menggunakan tempat parkir yang disediakan.

DBKL sebelum ini memberi alasan kenaikan itu adalah bagi menggalakkan kira-kira sejuta pemandu solo menggunakan pengangkutan awam atau berkongsi kereta ke tempat kerja.

Ia juga sebagai inisiatif bagi mengelak pengguna memarkir terlalu lama terutama pada waktu puncak yang dikatakan menjadi punca kepada kesesakan apabila aliran trafik menjadi perlahan akibat pengguna menghadapi kesukaran mendapatkan parkir.

"Bayangkan ada tiga juta kenderaan masuk ke Kuala Lumpur setiap hari, dan parkir pula hanya ada 46,000.

"Jadi tak wajarlah tamak untuk gunakan tempat parkir. Sebab itu pokoknya mereka hanya boleh parkir dua jam sahaja satu-satu masa," jelasnya.

Keputusan DBKL menaikkan kadar parkir di sekitar Kuala Lumpur bermula Isnin itu mencetuskan rungutan pengguna di mana ramai menganggap masanya belum tiba.

Ia kerana sistem pengangkutan awam di Lembah Kelang belum dapat diintegrasikan sepenuhnya ekoran sistem Aliran Transit Massa (MRT) yang masih dalam pembinaan dan hanya akan memulakan operasi hujung tahun ini.

Kawasan yang terlibat dalam fasa pertama kenaikan kadar bayaran parkir adalah Bukit Bintang, Bukit Damansara, Sri Hartamas, Desa Hartamas, Solaris Mont Kiara, Taman Tun Dr Ismail dan Bangsar.

Kadar di tempat parkir dbkl di luar pusat perniagaan ibu kota termasuk Brickfields, Taman Maluri, Cheras, Wangsa Maju dan Setapak juga dijangka meningkat.