Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyifatkan keterangan yang dikumpul oleh mereka membabitkan kes kehilangan paksa paderi Raymond Koh Keng Joo dan Amri Che Mat adalah keterangan mengikut keadaan (circumstantial evidence).

Pengerusi panel siasatan berkenaan kehilangan dua berkenaan, Datuk Mah Weng Kwai berkata walaupun ia hanya keterangan mengikut keadaan, namun ia kukuh bagi melakukan pendakwaan.

“Selain keterangan langsung (direct evidence), keterangan mengikut keadaan juga kukuh. Jika saya mengambil contoh kes pertudhan terhadap Sunny Ang, setiap ‘utas benang’ keterangan (mengikut keadaan) yang dikumpul dan disatukan, ia cukup kuat untuk membentuk ‘seutas tali’ sebagai keterangan pendakwaan.

“Lelaki itu dihukum gantung atas kesalahan yang dilakukannnya,” katanya pada sidang media di ibu pejabat suruhanjaya itu, di sini pada Khamis.

Justeru katanya, setiap keterangan perlu diperhalusi tidak kira sama ada ia merupakan keterangan langsung, keterangan mengikut keadaan mahupun andaian.

Pihaknya juga yakin, menerusi hasil keterangan yang diperolehi, ia akan membantu dalam menyelesaikan kes ini.

BACA: Kehilangan paksa Raymond, Amri: Suhakam sedia hantar bukti Cawangan Khas terlibat

Untuk rekod, dalam kes Ang, mayat mangsa, Jenny Cheok tidak ditemukan, namun Ang yang merupakan teman lelaki mangsa didapati bersalah.

Ang disabitkan kesalahan membunuh teman wanitanya itu semasa mereka menyelam skuba di perairan Singapura pada 1963 atas keterangan mengikut keadaan.

Terdahulu, Raymond yang merupakan pengasas persatuan Harapan Komuniti, dipercayai diculik ketika memandu oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017.

Rakaman kejadian menunjukkan ia ia dipercayai satu rancangan rapi membabitkan lebih daripada sepuluh lelaki dan tujuh kenderaan.

Sementara Amri, 44 tahun, pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016.