Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang menafikan penularan gambar yang mengandungi maklumat palsu berhubung isu pemberian MyKad yang dikaitkan dengan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Pengarah Komunikasi Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Yap Yee Ling memaklumkan infografik kononnya Kon Yeow mempunyai kuasa mutlak untuk mengurniakan MyKad kepada bukan warganegara dan meminta orang luar tidak mencampuri urusan kerajaan negeri itu disebarkan menerusi aplikasi WhatApps sejak semalam .

Beliau yang juga Setiausaha Akhbar kepada Kon Yeow berkata, beliau infografik tersebut adalah palsu dan tidak benar, justeru beliau mewakili Ketua Menteri menafikan sekeras-kerasnya fitnah pihak tidak bertanggungjawab itu yang jelas bertujuan untuk memburuk-burukkan imej serta nama baik Ketua Menteri dan kerajaan negeri.

Jelasnya, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan urusan kewarganegaraan adalah di bawah Senarai Persekutuan dan bukan Senarai Bersama mahupun Senarai Negeri.

Kesal dengan perkara tersebut, kerajaan negeri juga telah mengarahkan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar untuk membuat laporan polis bagi membolehkan dalang penyebaran fitnah tersebut dicari.