Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Openg berkata kerajaan negeri berpuas hati dengan hasil rundingan berhubung hak-hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Setakat ini, semua nampaknya baik, kami berjaya memperoleh sesuatu yang kami mahukan," kata beliau ketika berucap pada majlis makan malam Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) ke-63 di sini malam tadi.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan apa yang telah diperoleh kerajaan negeri hasil daripada rundingan itu, sambil menambah perkara-perkara yang tidak dapat diputuskan semasa rundingan telah dirujuk kepada jawatankuasa teknikal.

"Saya berpendapat bahawa apa-apa perbezaan yang kita hadapi dapat diselesaikan dengan kerajaan persekutuan.

"Saya yakin Sarawak akan mempunyai masa depan yang cerah dan berada dalam kedudukan sebagai negeri paling maju di Malaysia menjelang 2030," kata beliau dan menambah bahawa Sarawak akan melaksanakan apa sahaja haknya, termasuk hak berhubung gas dan petroleum.

Mengenai SDNU, ketua menteri menggesa persatuan itu untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan sambil berkata kerajaan negeri akan membantu persatuan dalam apa-apa jua.

Beliau berkata SDNU harus menjadi pemangkin dalam program transformasi kerajaan untuk menyumbang ke arah pembangunan Sarawak bagi faedah komuniti yang diwakilinya.

Sementara itu, Presiden SDNU, Tan Sri William Mawan menekankan tentang perlunya persatuan tersebut tidak berunsur politik tetapi bekerjasama dengan kerajaan.

-- BERNAMA