Ketua pemuda bahagian sebuah parti tempatan ditahan polis selepas disyaki lalok dadah dalam kejadian di daerah Kota Belud, malam tadi.

Suspek berusia 30-an itu dikatakan dicekup berhampiran kawasan sebuah kem tentera di daerah berkenaan kira-kira jam 8 malam Sabtu.

Turut difahamkan suspek yang memandu sebuah kenderaan pergi ke lokasi itu sebelum ditahan untuk tujuan pemeriksaan oleh pihak tentera bertugas.

Pihak tentera yang berada di lokasi kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada polis sebelum suspek ditahan dan dibawa ke balai berdekatan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. Jelasnya, suspek kini ditahan untuk siasatan berkaitan penyalahgunaan dadah.

Tambah beliau, tiada sebarang kekecohan berlaku dalam kejadian terbabit.

Terdahulu, beberapa keping gambar suspek tular di media sosial yang mendakwa suspek kes positif syabu sejak tengah hari tadi.

Selain itu, suspek yang didakwa khayal melakukan berkawad di lokasi berkenaan.