Seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Sekolah Kebangsaan (SK) Kelar maut ketika dalam perjalanan mengambil kertas peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 8 pagi itu, Mariana Yusof, 30-an, yang juga Ketua Pengawas UPKK memandu kereta Proton Iswara maut di tempat kejadian di Jalan Tanah Merah - Pasir Mas berhampiran Kampung Kenjong dekat sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Penolong Penguasa Bomba Sapawi Setapa berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.11 pagi.

"Seramai lapan anggota bersama ketua operasi Pegawai Bomba Kanan II, Adnan Muhamad Juri ke lokasi kejadian.

"Sebaik sahaja tiba di lokasi didapati sebanyak empat buah kenderaan iaitu dua motosikal dan dua kereta terbabit dalam kemalangan," katanya.

Kereta Proton Iswara yang dipandu Mariana remuk dalam kemalangan tersebut.  - Foto Sinar Harian

Menurutnya, seorang lagi pemandu dan dua penunggang motosikal mengalami kecederaan.