Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendahului senarai 19 penerima Darjah Kebesaran Perak bersempena Ulang Tahun Ke-63 Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah di sini, hari ini.

Abdul Hamid menerima Darjah Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Manakala Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Ayop Hashim menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Sultan Nazrin juga berkenan menganugerahkan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman.

Selain itu, baginda turut berkenan menganugerahkan Darjah Paduka Mahkota Perak (Dpmp) yang membawa gelaran Datuk kepada 12 tokoh dan individu termasuk seorang penerima darjah kehormat.

Mereka adalah Exco Kerajaan Negeri, Asmuni Awi serta Abdul Yunus Jamhari.

Antara lain yang turut menerima DPMP ialah, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Ke Britain, Datuk Mohamad Sadik Kethergany; Profesor Ulung Institut Asia Eropah Universiti Malaya (UM), Prof Ulung Rajah Rasiah; Pengarah Pembangunan Negeri Perak, Zulazlan Abu Hassan; Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim; Bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki, Dr Mehander Singh Nahar Singh; Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Mohamed Azni Mohamed Ali.

Sementara itu, Duta Arab Saudi Ke Malaysia, Mahmoud H S Qattan menerima DPMP Kehormat.

Terdahulu, baginda berkenan memeriksa kawalan kehormat yang terdiri daripada 106 pegawai dan anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja Dua Divisyen diketuai Mejar Mohd Iqbal Mohd Zainuddin.

Pada sambutan tahun ini, Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan 254 darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri bersempena ulang tahun hari keputeraan baginda yang disambut 1 November.

Majlis penganugerahan darjah, bintang dan pingat lain akan disempurnakan pada 16 November ini.