Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang ditahan pada petang Jumaat, telah dikenakan perintah reman selama enam hari.

Salah seorang peguam yang mewakili beliau, Stanley Augustin berkata Khairuddin direman bagi membantu siasatan polis di bawah Akta 124C Kanun Keseksaan atas cubaan untuk melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Augustin berkata seramai enam peguam mewakili Khairuddin termasuk dirinya, Matthias Chang, Muhammad Rafique Rashid Ali, Fahmi Abd Moin, Ahmad Bazlan Che Kassim dan Ahmad Afiq Akmal.

“Sebab yang diberi untuk mereka melanjutkan tempoh reman ialah mereka berkata dokumen-dokumen yang (Khairuddin) diberikan kepada pihak Switzerland dan Perancis adalah palsu.

“Hujah saya ialah bagaimana mereka boleh mengatakan bahawa ia adalah palsu jika mereka tidak pernah melihat dokumen tersebut?

“Kami berkata beliau hanya mempuat laporan kepada pihak berkuasa yang relevan. Bukan dia memberikan kenyataan menuduh itu dan ini.

“Majistret berkata ‘ada kaitan dan perlu penyiasatan lanjut,” kata Augustin dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Augustin berkata hujah peguam bersama majistret mengambil masa selama satu setengah jam.

Beliau turut berkata semasa Khairuddin ditahan semalam, pihak polis telah merampas sebuah komputer riba, tiga telefon bimbit serta kad sim.

Turut kelihatan di IPD Dang Wangi adalah isteri Khairuddin, Datin Seri Umie Aida.

BACA: Khairuddin dijadual bertemu FBI Isnin ini, lapor NYT

BACA: 'Adakah saya dilarang meninggalkan negara kerana isu 1MDB?'

Semalam, Umie memberitahu Astro AWANI bahawa suaminya ditahan di kediaman mereka di Mont Kiara, di sini kira-kira pukul 7.30 petang.

Sebelum itu, Khairuddin dalam satu kenyataan di laman Facebook peribadinya, memaklumkan pihak PDRM telah meminta beliau hadir ke Bukit Aman pada Isnin depan untuk diambil keterangan berhubung tindakannya menyerahkan bukti kepada pihak berkuasa Switzerland berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Khairuddin pernah didakwa membuat laporan palsu terhadap syarikat itu.

Kata Khairuddin, pihak polis akan mengambil keterangan beliau berkenaan bukti yang diserahkan kepada Peguam Negara Switzerland dan bakal dipanggil untuk proses siasatan di ibu pejabat PDRM Bukit Aman pada hari Isnin depan jam 11 pagi.

Pada 20 Ogos lalu, Khairuddin mengemukakan bukti yang berkaitan dengan 1MDB kepada Peguam Negara Switzerland di Bern, meminta pihak berkuasa negara itu menyiasat aktiviti syarikat tersebut yang melibatkan bank negara itu dan beberapa bank antarabangsa.

Dalam kenyataan yang sama, Khairuddin turut memaklumkan beliau dan peguamnya, Matthias Chang telah telah dilarang daripada meninggalkan negara ini.

Khairuddin memberitahu, beliau terpaksa meleburkan segala kos persiapan untuk ke New York dan London berikutan larangan tersebut.