Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyeru satu persetujuan kontrak sosial yang baru dimeterai antara generasi baru masyarakat berbilang kaum di negara ini untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang menghalang perpaduan masyarakat menuju ke masa depan.

Katanya, cadangan itu bukan bertujuan untuk "membuang apa yang sudah ada" sebaliknya mahu menyesuaikan persetujuan antara kaum yang dibentuk semasa merdeka supaya seiring dengan perubahan zaman dan menyelesaikan masalah semasa.

"Semasa kontrak sosial asal dibuat pada tahun 1950-an ada satu persefahaman antara (kaum) Melayu, Cina dan India. Persefahaman itu berbeza dengan konteks yang ada pada hari ini sebab … sekarang ini kita ada generasi baru yang semuanya lahir di sini," katanya.

Jelas Khairy, semakan semula dan persetujuan baru kontrak sosial itu boleh dibuat melalui satu majlis rundingan yang disertai oleh semua kaum.

Beliau membuat seruan itu pada akhir forum mengenai perpaduan dan kemajmukan masyarakat anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) dan Persatuan Suara Untuk Keamanan, Nurani dan Akal Budi (PCORE) di Institut Integriti Malaysia hari ini.

Khairy sebelum itu dalam ucaptamanya di forum berkenaan menekankan garis-garis pemisah perpaduan sama ada dalam aspek kaum, bahasa dan sebagainya yang wujud di negara ini dapat dilampaui jika lebih banyak empati atau amalan memahami perasaan, fikiran dan sikap orang lain meluas dalam masyarakat.

Tambah beliau, sebab itulah golongan berpegangan sederhana di negara ini perlu lebih berperanan dalam membantu misi mencapai perpaduan dalam kemajmukan yang pelbagai.

Khairy menggesa golongan sederhana seperti hadirin forum berkenaan bersuara lebih lantang dan harus turut menghampiri golongan yang lebih berhaluan melampau supaya suara kesederhanaan menjadi paling lantang berbanding suara ekstrim segelintir yang negatif dan kumpulan bertentangan turut dirangkumkan dalam ikhtiar perpaduan.

Ini bukanlah kali pertama seruan kepada persefahaman baru kontrak sosial dibuat.

Namun menjelang ulang tahun kemerdekaan ke 56, dengan pelbagai isu kontroversi membabitkan keretakan perpaduan masih menjadi perdebatan termasuklah pertikaian sama ada kontrak sosial wujud dalam semangat perlembagaan negara atau tidak, seruan Khairy jika diterjemah kepada perlaksanaan yang nyata, setidak-tidaknya memajukan fokus perpaduan secara konkrit ke hadapan.