Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengakui mengenali Gopinathan Krishnan, suspek utama kes menerima rasuah bagi melindungi kegiatan pusat judi haram dan rumah urut di Melaka yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau turut mengakui Gopinathan Krishan, 50, itu turut mengenali beliau dan ahli keluarganya.

"Orang yang mengenali saya dan ahli keluarga saya, jika mereka melakukan apa juga di belakang saya, tak mungkin saya dapat tahu semuanya.

"Jika mereka melakukan apa juga kegiatan haram, mereka sendiri perlu jawab,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Op Selamat 11/2017 di sini hari ini.

Khalid menegaskan beliau dan pegawai-pegawainya tidak akan bersekongkol dengan sesiapa pun yang melanggar undang-undang serta akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM dalam siasatannya.

Kata Khalid, ramai yang memiliki nombor telefonnya dan beliau tidak dapat menghalang mereka yang mahu berhubung dengannya termasuk daripada nombor yang tidak dikenali.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Sarawak Report yang mendakwa Gopinathan, atau lebih dikenali sebagai Gopi, ada hubungan dengan anak lelaki serta abang ipar Khalid.

Gopi ditahan SPRM bersama lima individu lain pada 22 Mei lalu susulan penahanan 12 susupek yang sebahagian besarnya anggota dan pegawai polis bulan lepas yang disyaki terlibat dengan kes rasuah.