Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengarahkan siasatan dilakukan ke atas pihak yang mengugut mahu mengadakan demonstrasi besar sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak enggan berundur.

Dalam satu kenyataan menerusi akaun Twitternya, Khalid menggesa Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) menyiasat satu imej bertulis "Demo besar jika Najib tak letak jawatan".

"PCIRC @PDRMsia sila siasat originator message ini yg merupakan satu ugutan, hasutan dan mengancam ketenteraman awam," tulis Khalid dalam posting Twitternya sebentar tadi.


Imej yang memaparkan foto Ahli Parlimen (DAP-Seremban) Anthony Loke itu disifatkan Khalid sebagai menghasut serta mengancam ketenteraman awam.

Dalam laporan SinarTV semalam, Anthony dipetik berkata beliau tidak menolak akan berlaku demonstrasi besar-besaran jika Najib masih tidak meletakkan jawatan atau berehat sementara siasatan ke atasnya berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedang dijalankan.