Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) mengalu-alukan keputusan Kerajaan berkaitan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menyaksikan kadar tol lebuh raya dikurangkan 18% serta Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kekal sebagai pemegang sahamnya.

Pengurangan kadar tol sebanyak 18% akan melibatkan lebuhraya yang dikendalikan oleh PLUS iaitu Lebuhraya Utara-Selatan (“NSE”), Lebuhraya Lembah Klang Utara (“NKVE”), Lebuhraya Utara-SelatanLinkaran Tengah (“ELITE”), Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Lebuhraya Pantai Timur Fasa2 (“LPT2”), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (“LINKEDUA”), Lebuhraya Butterworth-Kulim dan Jambatan Pulau Pinang.

Kadar tol yang dikurangkan akan dikekalkan sepanjang tempoh konsesi lebuh raya yang akan dilanjutkan selama 20 tahun dari tahun 2038 kepada tahun 2058.

Disamping itu, semua pampasan tol yang belum dibayar serta pampasan pada masa depan akan diketepikan, sekali gus memberikan penjimatan keseluruhan berjumlah kira-kira RM42 bilion kepada Kerajaan.

Khazanah akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan dan PLUS bagi inisiatif penstrukturan tol yang diumumkan pada hari ini bagi memastikan ia dilaksanakan dengan berkesan untuk faedah pengguna lebuh raya, sambil mengekalkan kepentingan dan hak semua pihak berkepentingan utama, termasuk pemegang hutang PLUS.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata: “Kami sedar betapa rumitnya untuk memenuhi tuntutan semua pihak berkepentingan utama PLUS, terutamanya rakyat Malaysia.

"Keputusan untuk mengurangkan kadar tol sambil memberi penjimatan yang ketara kepada Kerajaan merupakan langkah yang penting. Selain itu, keputusan untuk mengekalkan PLUS di bawah penguasaan pemegang saham sedia ada akan dapat memastikan mutu keselamatan, keselesaan serta kemudahan yang kini dinikmati oleh para pengguna akan dapat terus dikekalkan.

"Langkah seterusnya adalah bagi membincang tentang pelaksanaan insiatif ini dengan semua pihak berkepentingan."

Khazanah dan PLUS akan mengumumkan butiran lanjut mengenaiinisiatif penyusunan semula tol ini selepas mengadakan rundingan selanjutnyadengan Kerajaan dan pihak berkepentingan utama lain.