Khidmat Pegawai Bomba Bantuan (PBB) yang akan dibayar elaun sama seperti pasukan bantuan sedia ada ditubuhkan bagi meningkatkan kecekapan masa bertindak.

Anggota PBB akan menerima latihan daripada Jabatan Bomba Dan Penyelamat dalam tugas memadam kebakaran dan menyelamat.

Pada masa ini, masa bertindak 10 minit yang ditetapkan masih kurang memuaskan iaitu kurang 50 peratus berbanding pencapaian 80 peratus di negara-negara maju.

Faktor itu disebabkan taburan balai bomba dan bilangan anggota yang tidak seimbang dengan keluasan kawasan perlu berisiko.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin berkata, antara pendekatan digunakan adalah mewujudkan khidmat pegawai bomba bantuan.

"Hari ini merupakan detik bermulanya plancaran penubuhan pegawai bomba bantuan, maka dgn itu orang ramai diseru untuk mendaftarkan diri menyertai pasukan ini,”

“Pihak JBPM akan beri latihan secukupnya kepada anggota PBB untuk bantu mereka jalankan tugas memadam kebakaran dan menyelamat dengan cekap serta berkesan bersama anggota bomba sepenuh masa,” katanya.

Beliau berkata ketika merasmikan majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2014 di Dataran Merdeka.

Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan, Timbalannya, Datuk Halimah Mohd. Sadique dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim.

Muhyiddin turut melancarkan Pasukan Bomba Bantuan dan Buku Wira Merah.

Orang awam yang berminat boleh mendaftarkan diri mereka dan sekiranya terpilih, perlu menjalani latihan intensif selama dua minggu serta latihan dua jam seminggu.

Pegawai Bantuan Bomba kemudiannya perlu mendaftar di balai berhampiran dan berada dalam keadaan siap siaga jika diperlukan.

Bayaran elaun antara RM6 hingga RM7.80 sejam akan turut diberikan.

Jabatan Bomba Dan Penyelamat mensasarkan penyertaan 15 ribu anggota dalam tempoh 10 tahun.

Sementara itu Ketua Pengarah JBPM Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim memaklumkan penubuhan PBB lebih berstruktur dan meraka akan ditempatkan di seluruh kawasan berisiko diseluruh Negara.