Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini memfailkan permohonan usul dan afidavit agar Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengundurkan diri dari kes rasuah beliau.

Peguam belanya Datuk Tan Hock Chuan, ketika memfailkan permohonan itu berkata, Mohd Nazlan dipengaruhi fakta kes kerana melepaskan tertuduh kedua iaitu ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon dengan denda RM1.5 juta selepas mengaku bersala.

Pasukan peguam bela berkata, keputusan itu secara tidak langsung menimbulkan kemungkinan Tengku Adnan tidak akan menerima perbicaraan yang adil.

“Saya sesungguhnya percaya bahawa fakta kes yang dibentangkan oleh pihak pendakwaan semasa pengakuan salah ke atas Tan Eng Boon membabitkansaya dan Yang Arif Hakim Tuan Mohd Nazlan untuk membaca fakta kes tersebut.

“Oleh itu saya khuatir dan risau bahawa Yang Arif Tuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali dipengaruhi fakta kes tersebut,” menurut afidavit itu lagi.

Selain permohonan agar Mohd Nazlan mengundurkan diri, Hock Chuan berkata, anak guamnya turut memohon agar perbicaraan itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi yang lain, agar kes dapat didengari di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi yang lain.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim memohon agar pihaknya diberikan masa untuk memfailkan afidavit balas ke atas permohonan tersebut.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Mohd Nazlan memberi tempoh sehingga 3 petang ini untuk afidavit balas, dan menetapkan 9 pagi esok (Jumaat) untuk membuat keputusan.

Tengku Adnan, menghadapi satu pertuduhan menerima rasuah dan satu pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM1 juta daripada Eng Boon, berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak, di sini pada 2013.